Jemaah Haji Malaysia Pulang Bermula Khamis

Diterbitkan: Khamis, 1 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JEDDAH: Seramai 310 jemaah haji Malaysia menjadi kumpulan pertama berangkat pulang ke tanah air pada Khamis kira-kira 7 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat Saudi Airlines.

Pengarah Operasi Tabung Haji Jeddah Abdul Karim Samad berkata jemaah berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada kira-kira 9.15 malam waktu Malaysia.

Beliau berkata kesemua 28,000 jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah air secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 28 Nov.

Sebelum ini mereka di tempatkan di asrama Tabung Haji "Madinahtul Hujaj" di sini untuk proses transit selama 24 jam selepas tiba dari hotel masing-masing di Makkah.

"Di sini petugas Tabung Haji menguruskan kesemua urusan bagasi, pasport dan tiket penerbangan, biasanya jemaah haji kita meluangkan masa dengan berehat," kata Abdul Karim kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, penerbangan ke Johor Baharu akan bermula pada 3 Nov, Pulau Pinang (12 Nov), Kuala Terengganu (12 Nov), Kuching (13 Nov) dan Kota Kinabalu pada 15 Nov ini.

Beliau berkata 56 peratus daripada 28,000 jemaah haji Malaysia akan singgah dahulu ke Madinah untuk melakukan ziarah bermula 6 Nov. Mereka akan berada di Tanah Suci itu selama lapan hari.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di Madinahtul Hujaj berada dalam keadaan sihat dan tidak sabar untuk balik ke kampung halaman masing-masing selepas berada lebih kurang 40 hari di Tanah Suci.

Walaupun gembira tetapi rasa sayu dan sedih tidak dapat disembunyikan kerana masing-masing mengakui suasana beribadah di Tanah Suci sangat berbeza berbanding dengan tempat lain.

Seorang pesara guru, Ruslina Awang, 58, mengakui sangat sedih untuk meninggalkan Makkah dan juga Madinah di mana junjungan besar Rasulullah SAW disemadikan.

"Entah bila dapat bertemu (menziarahi makam) baginda lagi, kalau diizinkan Tuhan, saya mahu kembali melakukan ziarah di Madinah dan beribadat di Makkah," katanya.

Seorang lagi jemaah, Megat Hamzah, 48, berkata walaupun berasa gembira untuk pulang ke tanah air tetapi pada masa yang sama hati terasa berat untuk meninggalkan Makkah.

"Setiap hari kita solat, kita nampak Kaabah depan mata, semasa di Madinah pula, kita terasa dekat dengan Rasulullah SAW...saya mahu datang ke sini (Makkah) jika keadaan dan kewangan mengizinkan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan