KASE Minta Jangan Bayar Saman AES, Sedia Peguam Jika Kes Ke Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 31 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menggesa orang ramai yang telah menerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk tidak membayar kompaun yang dikenakan dan KASE bersedia menyediakan peguam sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu membuat keputusan segera bagi menangguhkan perlaksanaan AES itu.

"Terdapat banyak desakan untuk AES ditangguhkan, satu meja rundingan perlu bagi memperincikan perkara ini dan keputusan perlu dibuat segera oleh Kabinet.

"Oleh itu kerajaan perlu tarik balik saman yang telah dikeluarkan sejak 13 Oktober 2012. Jika kerajaan enggan berbuat demikian saya seru mereka yang sudah menerima saman AES untuk tidak membuat bayaran kompaun sebanyak RM300 itu, ikut arahan yang tertera di kertas saman untuk pergi ke mahkamah," katanya pada sidang media dilobi Parlimen, Rabu.

Beliau berkata, KASE akan menyediakan beberapa orang peguam untuk bantu mereka yang mendapat saman AES tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, saman yang dikeluarkan mengelirukan orang ramai apabila terdapat saman yang diterima menggunakan Seksyen 79(2) tetapi kesalahan yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju.

"Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas. Pada kertas saman itu juga tertera kompaun minima adalah RM300, tetapi sebenarnya adalah tidak melebihi RM500.

"Mengikut seksyen ini juga pengguna jalan raya boleh mengunakan budi bicara mahkamah yang mana kemungkinan kompaun itu boleh dikurangkan menjadi RM50 atau boleh dibebaskan dengan amaran. Saman ini celaru dan mengelirukan, oleh itu jangan bayar, kita akan sediakan peguam untuk anda," katanya.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas turut berterima kasih kepada Pemuda Umno susulan cadangan mereka untuk AES ditangguhkan.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang KASE, Zulazmi Shariff mendakwa, pihak Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd yang menguruskan kamera AES itu menggunakan kenderaan menyerupai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

"Maklumat yang diterima dua syarikat ini menggunakan kenderaan syarikat jenis Frontier yang mempunyai warna dan logo yang menyerupai kenderaan JPJ.

"Ini satu bentuk penyamaran. Saya minta JPJ jawab perkara ini kerana kita tidak mahu ada pihak sewenang-wenangnya melakukan sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan yang menyerupai pihak berkuasa," katanya.

Zulhazmi turut memberitahu PAS menyediakan lebih 100 orang peguam yang akan membantu mereka yang menerima saman AES itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan