PM Umum 10 EPP Dijangka Tingkat Pendapatan Negara Kasar RM3.6 Bilion

Diterbitkan: Selasa, 30 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. Turut sama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (kanan). -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. Turut sama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (kanan). -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) pada Selasa mengenal pasti 10 Projek Permulaan (EPP) khusus bagi meningkatkan sektor bioteknologi negara, yang bakal melahirkan 20 projek pencetus yang mampu meningkatkan pendapatan negara kasar RM3.6 bilion, di samping mewujudkan 13,600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi.

Pada satu persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ketika ini pencapaian sektor bioteknologi negara sangat menggalakkan.

Beliau memberi contoh mengenai pelaksanaan fasa 2 dasar bioteknologi negara bagi tempoh antara 2011 dan 2015, yang bertumpu kepada usaha untuk menjadikan industri bioteknologi menjurus kepada bidang perniagaan dan pengkomersilan, yang antara pencapaiannya kini sudah melepasi sasaran.

Katanya menerusi fasa 2, pelaburan yang diraih industri itu kini menjangkau RM12.7 bilion, jauh melepasi sasaran RM9 bilion pada tahun 2015, manakala dari segi sasaran jumlah 80,000 pekerjaan baharu pada tahun 2015, angkanya kini sudah menjangkau 64,753.

Perdana Menteri berkata mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk menukar nama ICM kepada Majlis Bioekonomi Kebangsaan memandangkan istilah Bioekonomi dilihat lebih menyeluruh berbanding Bioteknologi.

Sementara itu, Najib berkata pembangunan bioteknologi telah mewujudkan industri baharu dalam negara, sebagai contoh, Gevo Inc yang akan melabur RM1.69 bilion untuk membina kilang yang menghasilkan produk terbitan biokimia, biobahan dan biobahan api.

"Projek ini akan menjadikan Jerantut sebuah pusat pengeluaran kaviar sedunia, satu inisiatif yang mungkin sukar untuk kita bayangkan selama ini, namun dapat dijayakan melalui I-Caviar menerusi pelaburan bernilai RM475 juta dalam tempoh lima tahun.

"Ini merupakan contoh bagaimana aplikasi teknologi boleh melakukan perubahan besar kepada satu kawasan yang tidak dapat kita bangunkan. Kita dapat juga mewujudkan satu industri baharu yang bukan berasal dari negara kita.

"Inilah contoh yang sangat bermakna, bagaimana pembangunan bioteknologi membawa banyak kesan positif kepada negara kita," katanya.

Selain itu, Najib berkata sebuah syarikat Amerika Syarikat akan melabur US$ 1 bilion untuk melaksanakan projek Akuakultur Undang Karang Bersepadu di Semporna, Sabah.

Beliau berkata syarikat yang mempunyai rangkaian restoran jenama Red Lobster itu mengenal pasti perairan Semporna dan Lahad Datu sesuai untuk penternakan udang karang secara komersil yang akan melibatkan rakyat tempatan sebagai peladang kontrak yang dijangka membolehkan mereka meraih pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Mereka yang terlibat dalam projek ini akan mendapat tempahan terjamin dan udang karang akan dieksport ke pasaran antarabangsa. Ini merupakan satu contoh bagaimana kekuatan yang ada pada kita, seperti biokepelbagaian dan alam semula jadi, yang tidak tercemar boleh kita manfaatkan melalui aplikasi bioteknologi," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan pengeluaran ikan Empurau secara besar-besaran.

Beliau berkata nilai ikan Empurau yang boleh mencecah RM1,000 sekilo merupakan antara ikan termahal di dunia, namun pengeluarannya terbatas.

"Apabila kita dapat melakukan R&D dan menjaga anak-anak ikan yang berkualiti tinggi, kita dapat menjamin pengeluaran secara berterusan. Ini akan memberi pendapatan kepada penduduk kampung yang sebelum ini terbatas," katanya.

Sementara itu, Najib berkata dalam mesyuarat hari ini, ICM memutuskan untuk menukar dasar bagi membantu syarikat BioNexus SME dalam negara.

Berdasarkan maklum balas dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), beliau berkata insentif dalam bentuk pinjaman bagi tahap maksimum RM3 juta dengan kadar faedah lima peratus didapati tidak memberi banyak manfaat.

"Sebagai sebuah kerajaan yang mendengar maklum balas dan suara rakyat dan industri, majlis hari ini memutuskan untuk menukar dasar tersebut kepada RM1 juta geran maksimum dan RM2 juta pinjaman maksimum, tertakluk kepada had maksimum RM3 juta.

"Keputusan ini dibuat serta-merta dan saya berharap ini akan memberi rangsangan dan galakan yang kuat kepada industri untuk membuat permohonan supaya syarikat itu dapat dikategorikan BioNexus.

"Keputusan ini akan memberi impak kepada perkembangan industri bioteknologi dalam negara," katanya.

Selain itu, Najib berkata mesyuarat hari ini juga memutuskan bahawa peruntukan dana untuk R&D seperti diumumkan dalam belanjawan 2013, termasuk RM600 juta untuk universiti penyelidikan, boleh digunakan untuk mendaftar Hak Harta Intelektual (IP) bagi R&D yang berpotensi untuk dikomersilkan.

"Kita diberitahu bahawa banyak R&D tidak dapat dipatenkan atau didaftar sebagai IP kerana ia tidak dapat menggunakan dana tersebut. Jadi, dengan keputusan hari ini, saya percaya ia dapat menggalakkan lebih banyak R&D hasil dari universiti untuk dipatenkan.

"Ini membolehkan pihak lain termasuk Agensi Inovasi Malaysia melakukan pembidaan secara terbuka dan seterusnya boleh dikomersilkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan