Kerajaan Terus Bantu Golongan Ketinggalan - Nor Mohamed

Diterbitkan: Ahad, 28 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Kerajaan kini memberi tumpuan terhadap isu-isu khusus berkaitan ekonomi mikro dalam usaha membantu golongan yang ketinggalan dalam arus pembangunan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata penekanan diberi kepada program yang dapat menjana ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

"Selain memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan ekonomi makro, kerajaan juga mengutamakan ekonomi mikro dalam usaha membantu kumpulan yang belum merasai hasil kemakmuran negara secukupnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Power Malaysia di sini, Sabtu.

Nor Mohamed berkata antara inisiatif yang dilakukan ialah memperuntukkan RM14 juta bagi penganjuran pelbagai program untuk kaum India sepanjang tahun ini.

Katanya, melalui usaha itu, pelajar kaum India dalam kelas peralihan yang ketinggalan akan dibantu dengan kelas tambahan.

"Kerajaan sudah membuat projek perintis dalam membantu 200 pelajar kaum India dalam kelas peralihan di Sepang, Kapar dan Klang, dan sambutannya amat menggalakkan," kata Nor Mohamed.

Sementara itu, presiden Power Malaysia, Mohana Muniandy berkata 280 wanita kaum India di seluruh negara telah diberi kursus kemahiran anjuran Power Malaysia dalam tempoh dua tahun.

"Mereka yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan berpendapatan rendah dan keluarga miskin diberi kursus kemahiran selama tiga bulan dalam bidang jahitan, gubahan bunga, kecantikan, kristal serta manik. Selepas tamat kursus, mereka berjaya membuka perniagaan sendiri," katanya.

Power Malaysia mendapat peruntukan RM1 juta dari Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan kursus berkenaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan