Kerajaan Kelantan Perlu Jelaskan Rakyat Teguran Ketua Audit

Diterbitkan: Ahad, 28 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: Kerajaan Negeri Kelantan perlu memandang serius teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 terhadap projek yang dilaksanakan dan segera memberi penjelasan kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan kerana perbelanjaan bagi melaksanakan projek tersebut menggunakan wang rakyat.

"Kita belum dapat penjelasan yang mantap daripada kerajaan negeri, rakyat Kelantan berhak mendapat penjelasan apa yang berlaku terhadap projek-projek tersebut yang tidak mendapat pulangan memuaskan daripada pelaburan yang besar," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidiladha di kediamannya di sini Sabtu.

Mustapa berkata,projek yang mendapat teguran Ketua Audit Negara itu termasuk projek ladang rakyat, projek pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan dan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd.

"Kita harap kerajaan negeri tidak mengambil ringan Laporan Ketua Audit Negara itu, kita hendaklah berlaku adil mana yang baik kita harus beri pujian mana yang lemah kita akui dan membuat pembetulan," katanya.

Beliau berkata,rakyat negeri ini tidak berpuas hati dengan pendekatan kerajaan negeri melaksanakan projek tersebut antaranya projek ladang rakyat yang tidak mencapai sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan peserta.

Ditanya Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan menamakan calon Pilihan Raya Umum ke-13 lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini, Mustapa berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Beliau berkata,semua pihak boleh memberi pandangan bagaimanapun keputusannya terserah kepada pucuk pimpinan parti dan semua pihak perlu akur dengan keputusan itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Jumaat ketika menyuarakan kemungkinan tersebut berkata perbezaan daripada amalan biasa itu tidak tertakluk kepada calon Umno sahaja malah semua parti komponen BN. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan