Bio-Visa Tangani Identiti Palsu Pelawat Asing

Diterbitkan: Ahad, 28 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua pelawat asing yang perlu memohon visa untuk datang ke Malaysia akan diwajibkan mendaftar menggunakan sistem biometrik terlebih dahulu di kedutaan atau konsulat Malaysia negara masing-masing pada masa akan datang, bagi menangani isu pemalsuan identiti menggunakan dokumen perjalanan itu.

Pemalsuan visa merupakan antara kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan pelawat asing yang berbuat demikian akan dikenakan Notis Tolak Kemasukan (Not To Land Notice/NTL), yang tidak membenarkan mereka masuk ke negara ini dan akan dihantar pulang ke negara asal dengan serta-merta.

Sejumlah 22,157 pelawat asing termasuk mereka yang menggunakan visa dikenakan tindakan NTL pada 2011 manakala 17,828 NTL dicatatkan antara Januari hingga September tahun ini di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Terdapat sebuah negara yang mencatatkan jumlah NTL paling tinggi iaitu kira-kira 5,000 orang pada satu tahun dan sebahagian besar kesalahan mereka adalah pemalsuan visa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pengesahan menggunakan sistem pengimbas cap jari itu dikenali sebagai sistem Biometrik-Visa (Bio-Visa), yang merupakan sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan untuk kemasukan pelawat asing ke negara ini.

Beliau berkata, sistem Bio-Visa yang merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Transformasi (Fasa Kedua) Jabatan Imigresen akan diumumkan sempena Hari Imigresen pada 1 Disember nanti.

Katanya, sistem Bio-Visa yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen nanti merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

"Bagi sistem ini, UK Border Agency (UKBA) hanya menjalankan pemeriksaan biometrik untuk pelawat asing yang meragukan. Tetapi Jabatan Imigresen Malaysia pula mengenakan pemeriksaan biometrik kepada semua pelawat asing yang menggunakan visa untuk masuk ke negara ini dan pemeriksaan kedua akan dilakukan ke atas mereka apabila mereka tiba di pintu masuk negara kita," katanya.

“Terdapat kes di mana segelintir individu tidak layak mendapatkan visa dan mereka bertindak mempergunakan orang lain bagi tujuan pemalsuan identiti. Jadi akhirnya orang lain yang buat visa, orang lain pula yang datang ke Malaysia.

"Kenapa mereka perlu menggunakan identiti orang lain? Mereka pastinya bukan pelawat yang tulen dan berkemungkinan berhasrat melakukan aktiviti yang tidak baik apabila mereka berada di negara kita," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.

Pengenalan Bio-Visa ini dicadangkan oleh kerana pengeluaran visa di sesetengah negara yang dilihat sebagai ‘berisiko tinggi’ dan terdedah kepada aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan itu.

Alias berkata, di bawah peraturan baru ini nanti, setiap pelawat asing yang mahu memohon visa perlu mendaftar menerusi sistem biometrik terlebih dahulu sebelum permohonan mereka boleh diproses dan diluluskan.

"Jika visa diluluskan, mereka akan melalui pemeriksaan biometrik sekali lagi apabila mereka tiba di pintu masuk Malaysia sebagai 'saringan kedua'. Hanya individu yang sama berdasarkan permohonan visa yang dibuat sahaja akan dibenarkan masuk ke negara ini," katanya lagi.

Menurut Alias, terdapat 38 negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia seperti China, India, Bangladesh, Sri Lanka dan Myanmar.

"Pelancong dan pelawat dari China dan India merupakan negara yang mempunyai jumlah paling tinggi datang ke Malaysia menggunakan visa," katanya.

Seramai 1.25 juta pelawat dari China dan 693,056 pelawat dari India berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas sahaja.

Alias berkata, sistem Bio-Visa akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan, akan dimulakan pada negara tertentu berdasarkan jumlah kemasukan pelawat ke Malaysia.

"Pada masa ini, inisiatif Bio-Visa sudah dirancang dengan teratur dan sedang menunggu perlantikan vendor untuk sistem ini. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai langkah pencegahan ke atas pelawat palsu yang memasuki negara ini tanpa memerlukan visa, Alias menjelaskan, semua pelawat asing yang berhasrat memasuki Malaysia tanpa visa akan dikenakan pemeriksaan biometrik di semua pintu masuk utama negara.

Pemeriksaan biometrik ini ialah sistem pengimbasan caj jari yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti individu dengan memadankan data yang direkodkan dalam pasport.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan