AES Dapat Elak Persepsi Polis Amalkan Rasuah

Diterbitkan: Sabtu, 27 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilaksanakan bagi mengesan pesalah lalu lintas boleh membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pihak polis dalam pengeluaran saman.

Anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, secara tidak langsung sistem ini dapat mengurangkan rasuah dalam kalangan anggota polis trafik.

"Bukankah ini apa yang kita aspirasikan bersama? Kita kerap menyelar pihak polis dan menuduh mereka mengamalkan rasuah, dan dengan tiba-tiba, kita menolak pula sebuah sistem yang mampu mengurangkan atau menghapuskan amalan rasuah.

"Kita menentang amalan rasuah namun pada masa yang sama kita tidak berasa bersalah apabila kita melanggar undang-undang jalan raya?," katanya dalam blog beliau di http://mpkotabelud.blogspot.com baru-baru ini.

AES merupakan sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Fasa pertama pelaksanaan AES mulai 23 September lepas mengenal pasti 63,558 pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Abdul Rahman berkata, beliau dan rakannya, Muhammad Shaahidullah Shayaa, terpanggil untuk menulis mengenai AES ini selepas timbul pelbagai isu tentang sistem ini di dalam media sejak beberapa hari yang lepas, apabila anggota politik pembangkang memperbesarkan isu ini.

"Kenapa kita begitu kuat mempertahankan pesalah-pesalah trafik? Bukankah kita menggunakan jalan raya setiap hari dan menyedari betapa tingkah laku sesetengah pengguna jalan raya adalah sangat menjengkelkan dan berbahaya?

"Memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memotong di jalan garisan dua selari serta mereka yang memasuki jalan-jalan larangan pada waktu-waktu yang sibuk; ini semua adalah senario harian dalam pengalaman pemanduan kita semua," katanya.

Abdul Rahman berkata, AES juga membantu mengurangkan jumlah anggota penguat kuasa yang melaksanakan tugas-tugas ini secara manual sebelum ini, sebagai contoh pegawai polis yang bersembunyi di celah semak-samun.

Oleh yang sedemikian katanya, polis boleh ditugaskan untuk melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih membawa nilai tambahan sebagai contoh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya.

"Memang kita tidak suka diperhatikan sewaktu kita memandu, kita juga perlu tahu bahawa pegawai-pegawai polis itu pun tidak suka bersembunyi untuk menangkap anda. Mereka juga ada tugas-tugas lain," katanya.

Menurutnya, AES mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan trafik melalui sebuah sistem yang berfungsi 24 jam, tanpa apa-apa gangguan sama ada faktor cuaca atau keadaan.

Ia juga tidak mendiskriminasi, kerana tidak wujud sebarang interaksi peribadi di antara sistem ini dan pesalah-pesalah, dan ia juga tidak mendiskriminasi antara kenderaan-kenderaan persendirian, komersil mahukan awam, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan