Nik Aziz Perlu Tanggungjawab, Bukan Lepaskan Kerja Pada Orang Lain - Ibrahim Ali

Diterbitkan: Jumaat, 26 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, seseorang yang mahu menjadi Menteri Besar seharusnya bertanggungjawab dan bukan hanya melepaskan kerja kepada orang lain.

Beliau berkata, sama ada menteri besar, ketua menteri mahupun perdana menteri, mereka perlu melaksanakan tugas mereka sebagai ketua.

"Mereka kena tahu apa yang sedang berlaku. Kalau tidak, mereka ini boleh menyalahgunakan kedudukan. Bila kerja-kerja berat itu orang lain yang buat, ini bermakna dia tidak terlibat," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS Kelantan tetap mahu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar walaupun beliau tidak dapat melakukan kerja berat ekoran masalah kesihatan.

Pada Khamis Takiyuddin dilaporkan sebagai berkata keadaan Nik Aziz bukan satu masalah kerana semua kerja berat itu akan dilakukan barisan Exco.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Nik Aziz perlu bertanggungjawab sekiranya beliau terus mahu menjadi menteri besar.

"Bukan kata dia uzur, duduk di rumah terima gaji (dan) orang lain buat kerja. Ini namanya makan gaji buta," katanya.

Ibrahim menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu sebagai sesuatu yang amat memalukan sambil mempertikaikan bagaimana terdapat kenyataan yang membayangkan Nik Aziz akan terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dalam keadaan yang tidak sihat dengan kerjanya akan dilakukan oleh Exco.

"Adakah ia betul? Ikutkan, menteri besar atau perdana menterilah yang merancang dan memikir, patutnya inovatif dan kreatif mengetuai dan melibatkan diri. Barulah sesebuah negeri akan maju.

"Bagaimana anda boleh 'melepaskannya' kepada orang lain? Apa kata dari segi Islam. Dia dari parti politik Islam," katanya.

Beliau mendakwa bahawa kenyataan Takiyuddin itu berkemungkinan oleh pandangannya bahawa PRU-13 nanti akan menyaksikan kemenangan PAS di Kelantan bergantung pada populariti Nik Aziz.

"Maknanya bila Nik Aziz popular, PAS bertanding dan menang. Kerana apa? Kerana populariti Nik Aziz.

"Bukan nak memikirkan soal masa depan Kelantan tetapi 'mempergunakan' populariti Nik Aziz untuk menang dalam pilihan raya. Selepas itu Nik Aziz upaya atau tidak, itu adalah perkara kedua," dakwa Ibrahim lagi.

Dilaporkan, Takiyuddin sebagai berkata, Nik Aziz hanya perlu mengeluarkan idea tanpa perlu bekerja keras kerana semua kerja yang ada akan dilakukan oleh orang bawahannya.

"Apa yang penting sekarang kami mahu beliau dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob sebab mereka adalah pemimpin ulama dan kepimpinan mereka masih diperlukan," kata Takiyuddin lagi.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan