Dakwaan Bung Terhadap Syed Mokhtar Bersifat Retorik -Ibrahim Ali

Diterbitkan: Jumaat, 26 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Syed Mokhtar Radin yang mendakwa tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Molhtar Al-Bukhary memonopoli semua perniagaan di negara ini sebagai sesuatu yang retorik.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau menolak kenyataan Bung Mokhtar dan menyifatkannya sebagai 'serangan' yang tidak berpandukan asas dan fakta.

"Kenyataan mengenai Syed Mokhtar hanyalah satu kenyataan umum. Kenyataan Bung Mokhtar itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mementingkan Syed Mokhtar sahaja, segala-galanya dibolot oleh Syed Mokhtar.

"Ini seolah-olah orang Melayu, ahli perniagaan Melayu lain tidak diberi peluang. Dan ini juga akan menyebabkan kaum-kaum lain memberi persepsi yang tidak sihat terhadap kerajaan. Persoalannya, adakah kenyataan Bung Mokhtar itu adalah betul atau tidak," katanya kepada para pemberita di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Bung Mokhtar pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa yang mengkritik Syed Mokhtar sebagai memonopoli semua jenis perniagaan sama ada di darat, laut mahupun udara.

Ibrahim berkata, walaupun beliau adalah Ahli Parlimen Bebas, tetapi beliau mengingatkan dirinya sendiri supaya tidak boleh menyerang individu lain tanpa bukti.

"Kalau serangan itu betul tidak apa. Kalau tidak betul, dia (Syed Mokhtar) akan digambarkan sebagai seorang yang begitu tamak," katanya.

Menurut Ibrahim, adalah sesuatu yang tidak adil bagi Syed Mokhtar kerana tokoh korporat itu banyak memberi peluang kepada agensi dan individu yang berkepentingan untuk orang Melayu.

"Beliau mendapatkan projek-projek berdasarkan penilaian dan pemilihan secara adil dan profesional. Beliau ada keupayaan, kalau hendak dapatkan yang besar, kenalah berupaya untuk melakukannya," katanya lagi.

Ibrahim menambah, beliau bukan mahu menentang Bung Mokhtar tetapi sekadar memperbaiki keadaan.

"Ini kerana kenyataan Bung Mokhtar boleh membawa pelbagai kesan. Kenyataan beliau terlalu umum yang boleh memberi kesan kepada orang bukan Melayu termasuk orang Melayu dari segi persepsi.

"Itu hak dia, itu pandangan dia. Saya menghormati kenyataannya sebagai Ahli Parlimen tetapi beliau perlu memperjelaskannya supaya tidak memberi persepsi yang salah iaitu kesan yang ditinggalkan berdasarkan kenyataan itu," katanya.

Ditanya adakah Ibrahim akan mendesak Bung Mokhtar untuk menarik balik kenyataan itu, beliau berkata: "Saya tidak mahu desak apa-apa, terserah kepada dia kerana dia Ahli Parlimen, juga Ahli Majlis Tertinggi Umno."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan