Bekalan Elektrik Terputus Lapangan Terbang K. Kinabalu Bergelap

Diterbitkan: Jumaat, 26 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Semua aktiviti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini terpaksa dihentikan pada petang Jumaat selepas bekalan elektrik di landasan kapal terbangnya terputus sehingga menyebabkan ramai penumpang terkandas dan banyak penerbangan antarabangsa dan tempatan terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang yang berhampiran.

Pegawai Malaysia Airports Berhad (MAB) yang enggan dikenali memaklumkan mereka sedang membaik pulih lampu di lapangan terbang dan berharap agar keadaan dapat pulih seperti sedia kala.

Bekalan elektrik di landasan itu terputus pada pukul 6.20 petang, mengakibatkan banyak penerbangan tidak dapat berlepas manakala penerbangan yang ingin mendarat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran seperti Labuan.

Jurucakap MAB itu hanya dapat mengesahkan kejadian tersebut, bagaimanapun dia tidak dapat memberikan jumlah penerbangan yang terpaksa ditangguhkan dan penumpang yang terkandas.

"Saya menaiki kapal terbang sejak tiga jam lalu, saya sepatutnya berlepas pada pukul 6.20 petang dan hanya sejam kemudian barulah kami diberitahu kapten kapal bahawa kami tidak boleh berlepas kerana lampu di landasan telah rosak.

"Sejak itu kami terpaksa menunggu sehingga kini," menurut seorang penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur katanya dalam pesanan ringkas yang dikirimkan kepada The Star.

Landasan kapal terbang KKIA sedang dinaik taraf dan projek tersebut mengalami kelewatan dan hingga kini masih ada beberapa kerja pengubahsuaian yang belum selesai.

Menurut jurucakap MAB tersebut, tidak ada kerja naik taraf dijalankan ketika kejadian terputus bekalan elektrik itu berlaku.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan