Pemuda MCA Kedah Minta Kerajaan Negeri Turunkan Papan Iklan Tipu Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 25 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pemuda MCA Kedah meminta kerajaan negeri menurunkan papan iklan yang memaparkan kenyataan yang boleh dianggap menipu rakyat.

Ketua Task Force Pemuda MCA Kedah Tan Chee Hiong berkata kerajaan negeri telah memasang papan iklan yang tertera kenyataan '26.091 hektar lombong bijih besi di Gurun dengan bayaran royalti RM10 juta setahun kepada kerajaan' sedangkan itu hanya angka anggaran.

"Setahu kami, kegiatan ini (lombong bijih besi) sampai sekarang belum ada hasil lagi dan royalti yang ditulis di papan iklan itu adalah keterangan tipu kerana pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu bahawa kenyataan pada papan iklan itu hanya angka anggaran," katanya.

Beliau berkata papan iklan itu banyak diletakkan di kawasan luar bandar seperti Pokok Sena, Kuala Nerang, Sik dan Baling.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah Badrul Hisham Hashim berkata papan iklan itu juga memapar angka berkaitan hasil balak.

"Statistik yang dinyatakan di atas papan iklan itu ialah pendapatan kerajaan negeri daripada hasil balak mencecah sampai RM80 juta untuk tahun 2011.

Kenyataan itu juga menipu rakyat Kedah kerana mereka tidak beritahu berapa keluasan balak yang mereka tebang.

"Saya difahamkan masa kerajaan BN (Barisan Nasional) mentadbir dulu dari segi penebangan balak, kita ada kuota yang kita boleh tebang tetapi apa yang saya dapati daripada maklumat kerajaan negeri, mereka telah tebang balak lebih 10 kali ganda," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan