Fama Tumpu Usaha Pengurangan Peranan ‘Orang Tengah’

Diterbitkan: Khamis, 25 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempergiatkan usaha mengurangkan peranan 'orang tengah' atau peraih bagi meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata usaha Fama itu juga akan memberi manfaat kepada pengguna yang dapat menikmati produk tempatan pada harga lebih berpatutan.

"Dulu peranan 'orang tengah' kuat sebab fungsi Fama ketika itu belum sampai tahap memasarkan barang-barang disebabkan kekurangan infrastruktur, tetapi kini Fama mempunyai lebih 500 pasar tani, gerai buah-buahan segar (GBBS), Agrobazaar Kedai Rakyat, motosikal roda tiga dan K-Shoppe.

"Infrastruktur logistik sudah bertambah dan hasil daripada penduduk dapat kita ambil secara terus untuk dipasarkan oleh peserta pasar tani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan 47 Tahun Fama peringkat Kedah, di sini, Rabu.

Badruddin berkata buat masa ini Fama memfokuskan usaha itu untuk golongan petani sebelum diperluas kepada golongan nelayan dua bulan akan datang, bagi memastikan sasaran mengurangkan 60 peratus peranan orang tengah dapat dicapai.

"Kebiasaannya pemborong akan mengambil ikan daripada peraih tetapi selepas ini penjual ikan akan mengambil secara terus daripada nelayan, malah jika nelayan memerlukan bantuan seperti membeli pukat baharu, kita akan bantu dari segi mendapatkan pinjaman.

"Jika dulu, peraih atau 'orang tengah' ambil hasil laut daripada nelayan pada harga RM2 satu kilogram, katakan harga pasaran RM8 sekilogram, mungkin selepas ini nelayan dapat jual RM4 sekilogram. Peruncit pula boleh ambil untung RM1.20. Jadi pengguna dapat bayar pada harga berpatutan dan orang yang turun ke laut pun akan dapat lebih," katanya.

Badruddin berkata perancangan itu bagaimanapun memerlukan kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan serta persatuan nelayan.

Terdahulu Badruddin dalam ucapannya, berkata seiring dengan sambutan 47 tahun penubuhan Fama, agensi itu berhasrat mempertingkatkan lagi peranannya dalam usaha membantu masyarakat meningkatkan pendapatan mereka.

"Seperti slogan 'Fama Di Hati Rakyat', kita mahu pegawai-pegawai terus turun ke akar umbi untuk melihat apa peruntukan yang kerajaan berikan, yang kita boleh gunakan supaya rakyat dapat merasai nikmatnya," katanya.

Pada majlis sama, Badruddin turut menyakskan Majlis Menandatangani Perjanjian Ladang Kontrak serta menyerahkan cek Program Pengukuhan Bekalan Dari Ladang Kontrak ke Pasar Tani (Kukuh), bantuan peralatan kepada usahawan K-Shoppe dan motosikal roda tiga kepada peserta-peserta terlibat. Turut hadir Pengarah Fama Kedah Anuar Mohamed. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan