SPAD Tarik Semula STK Yang Gagal Dilesenkan Dalam Tempoh Ditetapkan

Diterbitkan: Rabu, 24 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menarik semula 'Surat Tawaran Kelulusan' (STK) teksi yang gagal dilesenkan dalam tempoh yang telah diberikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata salah satu tujuan STK yang gagal dilesenkan ditarik balik adalah untuk mengawal keseimbangan permintaan dan penawaran serta mengurangkan jumlah teksi di seluruh negara.

"Jumlah STK teksi yang gagal dilesenkan dalam tempoh setahun yang diberikan adalah sebanyak 6,602 di mana 5,147 daripada jumlah itu adalah milik syarikat, 1,024 adalah milik individu, dua milik perkongsian, 366 milik koperasi dan 30 milik persatuan," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahmad Kassim ingin tahu keputusan SPAD menarik semula permit teksi yang dikenali tidak aktif dan memberi kepada pemandu teksi persendirian.

Setakat ini, beliau berkata notis pembatalan STK telah dihantar kepada 1,130 pemilik yang berkaitan manakala 519 notis peringatan pembatalan STK telah dihantar kepada pemilik yang masih memilikinya namun masih lagi sah sehingga bulan Februari tahun depan.

Sementara itu, Ahmad berkata justifikasi tindakan untuk memberikan permit teksi kepada individu adalah untuk memberi peluang kepada pemandu teksi yang pada masa ini menyewa daripada syarikat agar boleh memiliki permit teksi sendiri.

"Ini sekali gus memberi peluang kepada pemandu teksi sedia ada untuk memperoleh pendapatan yang lebih memuaskan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata SPAD juga akan mengambil tindakan membatalkan permit teksi pemilik yang didapati bersalah melanggar syarat permit seperti tidak menggunakan meter atau menggunakan perkhidmatan pemandu yang tidak memiliki lesen PSV yang sah.

Katanya tindakan juga akan diambil terhadap pemilik yang tidak memenuhi syarat untuk menjalani pemeriksaan berskala Puspakom. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan