Khaled Nordin Saran IPT Guna Sepenuhnya Potensi Sektor Biomass

Diterbitkan: Selasa, 23 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu berkongsi peranan penting dengan kerajaan dalam mengguna sepenuhnya sektor biomass, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata Malaysia yang mempunyai industri berasaskan bio yang banyak mempunyai banyak sumber potensi untuk menyediakan sektor biomass yang masih perlu dikaji.

"Sebagai contoh, industri berasaskan kayu masih mencari cara untuk memaksimum produknya dan sumber lebih baharu dan bukan konvensional seperti petai belalang, kenaf dan rumpair mikro juga sedang dikenal pasti potensi mereka sebagai sumber biomass.

"Ia telah mencipta peluang kepada industri, agensi kerajaan dan ahli akademik untuk bekerjasama dalam aktiviti kajian dan pembangunan," katanya dalam ucapan pada persidangan antarabangsa mengenai biomass untuk bahan bakar bio dan produk tambah nilai di sini malam Selasa.

Ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Abdul Rahim Mohd Noor.

Menyebut bahawa penggunaan makmal sedia ada di IPT adalah penting, Mohamed Khaled berkata semua pihak perlu bekerjasama dan menggunakannya sebagai cara mempromosi kepentingan kajian dan produk bioteknologi.

Selain itu, katanya sumber biomass yang juga berbentuk mapan dan semulajadi menjanjikan masa depan yang cerah kepada sektor ekonomi negara.

"Industri hijau mencipta pekerjaan bergaji lumayan dan menarik sejumlah pelaburan. Sektor perniagaan hijau global kini bernilai US$3.6 trilion dan ia berkembang pada kadar yang pesat," tambahnya.

Mengenai persidangan dua hari itu, beliau berharap ia akan mewujud kerjasama berkesan di kalangan ahli akademik, agensi kerajaan dan pemain industri untuk terus meningkat pertumbuhan sektor biomass.

Pada majlis itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan Tesco bagi melaksanakan landskap hijau di kampus UMP. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan