Kerajaan Pertahan Babak 13 Mei Dalam Filem Tanda Putera

Diterbitkan: Selasa, 23 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Filem Tanda Putera yang memaparkan tragedi berdarah 13 Mei 1969 perlu dipaparkan sebagai teladan kepada generasi muda mengenai pentingnya menjaga keharomonian negara.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz bagaimanapun berkata, filem sejarah seumpama itu perlu dipaparkan dengan cara yang efektif dan realistik.

"Kementerian berpendapat dengan kematangan pemikiran generasi muda masa kini, filem sejarah harus dipaparkan dengan cara paling efektif dan realistik walaupun ada menyentuh mengenai isu 13 Mei.

"Paparan sejarah ini begitu penting kepada rakyat Malaysia untuk dijadikan teladan betapa pentingnya keharmonian negara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) yang bertanyakan mengapa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membiayai filem Tanda Putera terbitan Pesona Pictures yang didakwa membangkitkan isu perkauman 13 Mei 1969.

Sementara itu Maglin berkata, dakwaan bahawa filem Tanda Putera mengandungi unsur perkauman adalah bersifat andaian yang dicetuskan terlalu awal sebelum ditayangkan.

Sutradara filem sepanjang 117 minit itu, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih mesra dengan panggilan Shumi sebelum ini dipetik media sebagai berkata, Tanda Putera sebenarnya dibikin khas bagi mengenang jasa dan pengorbanan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail.

Tanda Putera dibintangi barisan pelakon hebat, antaranya Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norashikin.

Filem hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) ini juga menelan kos yang bukan sedikit, iaitu RM4.8 juta termasuk promosi.

Filem yang sepatutnya ditayangkan pada 13 September lalu bagaimana terpaksa ditunda tayangannya pada 15 November depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan