Sokongan Malaysia Gantung Syria Dalam OIC Mesej Henti Konflik

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggantung keahlian Syria dalam organisasi itu bagi menghantar mesej kepada negara itu agar menamatkan konflik dalaman serta mengembalikan keamanan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem berkata, keputusan tersebut dilihat wajar berikutan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 30,000 orang awam terkorban di Syria sejak berlakunya keganasan pada Mac 2010.

"Dalam menghadapi isu konflik di Syria, Malaysia menyatakan pendirian melalui landasan OIC. Malaysia menyokong keputusan OIC untuk menggantung keahlian Syria di dalam organisasi tersebut semasa sesi ke-4 Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC pada 14 dan 15 Ogos lalu di Arab Saudi.

"Keputusan ini adalah sebagai tindakan simbolik untuk menghantar mesej jelas kepada Syria untuk mengambil langkah-langkah menghentikan pergaduhan dan persengketaan di antara mereka," katanya pada persidang Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan lisan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai) yang ingin mengetahui mengenai rasional Malaysia menyokong tindakan OIC menggantung keahlian Syria dalam pertubuhan itu ekoran krisis yang melanda negara tersebut.

Selain itu menurut Richard, semasa sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 1 Jun lalu, Malaysia turut menyokong resolusi mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam pihak yang bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah serta pembunuhan beramai-ramai di Syria.

"Malaysia turut memberi sokongan padu agar Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa ke Syria untuk menjalankan siasatan secara bebas dan berkecuali mengenai pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Sokongan Malaysia terhadap resolusi ini merupakan kali keempat dilakukan Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva," katanya.

Selain itu katanya, Malaysia juga menyokong pelan damai yang sedang diusahakan Utusan Khas PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi yang baru dilantik pada 17 Ogos lalu bagi mencari penyelesaian kepada konflik di Syria.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan