Michael Chia Tidak Pernah Ditangkap Di Hong Kong - Nazri

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan balak dari Sabah, Michael Chia tidak pernah ditahan di Hong Kong atas dakwaan penyeludupan wang berhumlah RM40 juta.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) juga tidak pernah menahan ahli perniagaan tersebut yang turut dikaitkan dengan dakwaan rasuah membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Berdasarkan laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Michael Chia tidak pernah ditangkap di Hong Kong dan ICAC juga tidak pernah tangkap Michael Chia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Sebelum ini jutawan balak itu dikatakan ditahan di Hong Kong pada 2008 dengan matawang Singapura berjumlah RM40 juta di dalam bagasinya, sebelum lelaki itu berjaya berlepas dengan pesawat ke Malaysia.

Michael dikatakan ditahan dan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram.

Kontroversi tercetus apabila dilaporkan bahawa Michael mendakwa bahawa wang tersebut adalah untuk diberikan kepada Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (JPN) memutuskan tiada elemen perbuatan rasuah dibuktikan terhadap Musa berkenaan dana seorang ahli perniagaan balak selepas meneliti keterangan SPRM.

JPN mendapati dana tersebut adalah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan