Malaysia - China Kukuh Kerjasama Banteras Jenayah Rentas Sempadan

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Keselamatan Republik Rakyat China, Ming Jianzhu menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Bersama Malaysia China dalam membanteras jenayah rentas sempadan di antara Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dengan Vice Minister of Public Security of China, Meng Hongwei (dua dari kanan). -fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Keselamatan Republik Rakyat China, Ming Jianzhu menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Bersama Malaysia China dalam membanteras jenayah rentas sempadan di antara Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dengan Vice Minister of Public Security of China, Meng Hongwei (dua dari kanan). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China mengukuhkan lagi kerjasama dalam membanteras jenayah merentas sempadan kerana dijangkakan kemasukan lima juta setahun rakyat republik itu ke negara ini, termasuk pelancong dan pelajar, dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada ketika ini seramai tiga juta warga republik itu berada di negara ini sama ada atas faktor belajar, melancong, bekerja dan tidak kurang juga kemasukan mereka secara tidak sah ke negara ini.

"Oleh itu satu mekanisme dan perbincangan secara terperinci mengenai sistem keluar masuk visa akan diberikan fokus mendalam oleh pihak imigresen kedua-dua buah negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kerjasama kumpulan kerja antara Malaysia dan China dalam membanteras jenayah rentas sempadan di sini Isnin.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah rakan sejawatnya Meng Jianzu, Menteri Keselamatan Awam China, yang tiba di negara ini semalam untuk lawatan kerja tiga hari ke Malaysia, termasuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Penubuhan Kumpulan Kerja ini telah dipersetujui melalui perjanjian kerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan yang ditandatangani bersama Meng pada 2 Ogos lepas di Beijing, China.

Melalui perjanjian ini, Malaysia dan China akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha memerangi jenayah merentasi sempadan, khususnya keganasan, kawalan sempadan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, ketenteraman awam, penyeludupan dadah dan jenayah ekonomi.

Hishammuddin berkata kerjasama yang dimeterai dengan China tersebut merupakan satu langkah yang tepat di saat status kemasukan warga republik itu ke negara ini sering menimbulkan keraguan.

"Apabila kita adakan serbuan di lokasi tertentu, ia dilihat tidak berkesan. Justeru, dengan adanya kerjasama dua hala ini, terutamanya dengan negara berkenaan seperti China, ia boleh membantu kita memeranginya (jenayah) melalui pertukaran maklumat dan risikan serta operasi bersama," katanya.

Beliau berkata dengan adanya kerjasama dengan negara sumber tersebut, maka serbuan yang dilakukan akan menjadi lebih efektif.

"Pemeteraian perjanjian persefahaman ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam menjalin kerjasama erat terutamanya dengan agensi-agensi penguatkuasaan asing dalam usaha untuk menangani ancaman jenayah merentas sempadan yang semakin meningkat," katanya.

Perjanjian persefahaman itu merupakan dokumen kerjasama keselamatan keempat yang ditandatangi negara ini dengan rakan-rakan strategik asing termasuk Arab Saudi, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Mesyuarat sehari itu memberi penekanan kepada mengukuh kerjasama di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan kedua-dua buah negara, pertukaran maklumat serta risikan, penyiasatan secara bersama dan perkongsian hasil siasatan, pertukaran lawatan personal dan penghantaran pulang suspek warga kedua-dua buah negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan