Pelan Pembangunan Semula Kampung Bharu Dibentang Di Kabinet Bulan Depan

Diterbitkan: Ahad, 21 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelan pembangunan semula Kampung Bharu di sini akan dibentangkan di Kabinet November ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata pelan tersebut adalah hasil daripada sesi perbincangan bengkel selama tiga hari melibatkan 20 pemegang kepentingan serta wakil penduduk kampung tersebut bermula Khamis lepas.

"Bengkel ini umpama program bersama rakyat yang bertujuan mendapatkan maklum balas semua pihak terbabit yang membuktikan kerajaan sentiasa bersama dengan rakyat.

"Rumusan serta pandangan ini akan diguna pakai kerajaan sebagai garis panduan untuk menggerakkan pembangunan Kampung Bharu meliputi kepentingan semua kaum selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Lab Pelan Induk/Pelan Struktur dan Garis Panduan Pembangunan Kampung Bharu, Sabtu.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib. Nong Chik berkata antara rumusan pelan pembangunan semula yang akan dibentang di Kabinet adalah cadangan proses pembangunan tanah, isu sewa serta tapak.

"Kita harap kerajaan meneliti segala rumusan yang dicapai daripada bengkel ini dan kita akan umumkan keputusan yang dibuat kerajaan kelak," katanya.

Menurutnya, ini merupakan peringkat permulaan dalam mencari asas kukuh bagi membangunkan Kampung Bharu secara komprehensif yang mengambil kira kepentingan kira-kira 4,000 tuan tanah.

"Walaupun pelbagai tohmahan diterima kerajaan terutamanya daripada pihak pembangkang, namun usaha akan diteruskan melalui Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu yang berfungsi memaju, menyelaras dan menyelia pembangunan di situ," katanya sambil menekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.

Kawasan Kampung Bharu meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar berusia 110 tahun dan kini mempunyai 35,000 penduduk.

Mengenai pembangunan semula Pasar Jalan Bot, Nong Chik berkata cadangan itu dicetuskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan itu pada 17 Julai tahun lepas bagi menjadikannya lebih menarik dan bersih serta dapat memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.

"Ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan komprehensif Kampung Bharu bersifat 'futuristic' bagi menggandakan serta mengukuhkan kegiatan ekonomi peniaga dan penjaja yang sudah lama bertapak di situ," katanya.

Beliau berkata projek yang dijangka siap pada 2017 itu akan dibangunkan secara berperingkat di mana semua peniaga dan penjaja tidak akan dipindah keluar daripada kawasan itu semasa proses pembangunan dijalankan.

"Kita akan menambah 350 lot menjadikan jumlah lot perniagaan di pasar tersebut kepada 1,877 lot yang kelak akan memenuhi keperluan peniaga-peniaga serta pengunjung," katanya.

Nong Chik juga yakin pembangunan semula pasar tersebut membuktikan kerajaan sentiasa peka dengan kepentingan rakyat khususnya golongan peniaga serta penjaja selain menjadikan pasar itu sebagai antara destinasi pelancongan di Kuala Lumpur.

Pasar Raja Bot yang memulakan beroperasi pada 1955 menempatkan kira-kira 1,527 peniaga pelbagai keperluan harian termasuk barang-barang basah dan kering seperti sayur, buah-buahan, pelbagai jenis daging selain menjual pakaian dan makanan. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan