Pembangkang Perlu Hentikan Isu Scorpene -Rosnah

Diterbitkan: Sabtu, 20 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pakatan pembangkang perlu menghentikan manipulasi mereka berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis.

Beliau berkata dakwaan mereka itu jelas tidak mempunyai asas dan hanyalah strategi untuk mengelirukan rakyat.

Sambil membidas tindakan pembangkang yang mengutarakan spekulasi palsu, Rosnah berkata isu pembelian kapal berkenaan sepatutnya tidak lagi timbul kerana segala perkara berkaitannya telah dijelaskan.

"Isu pembelian kapal selam Scorpene seharusnya tidak timbul lagi. Pembelian kapal selam yang dibuat dari segi perundangan telah dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Bahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menjelaskan bahawa perjanjian pembelian Scorpene telah dibentangkan di Parlimen," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Menurutnya rancangan pembelian kapal selam dibuat sejak 1991 dan pada tahun 1995, Kementerian Kewangan meluluskan proses pembelian kapal selam dengan harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan Perancis.

"Pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan Malaysia dan tandatangan beliaulah yang merupakan tandatangan pada dokumen kelulusan pembelian kapal selam Scorpene," katanya.

Rosnah turut sependapat dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa pembangkang suka mengelirukan rakyat dan tidak pernah memberikan gambaran serta maklumat yang betul dan sepenuhnya kepada rakyat tentang isu yang ingin diutarakan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya memilih pemimpin dan parti yang mampu membela nasib mereka. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan