Projek Balak: MB Kedah Diminta Jelas Kerugian

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pemuda Gerakan Kedah pada Khamis meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi penjelasan berhubung projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea yang mengalami kerugian kira-kira RM13.49 juta.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara tahun lepas, kerajaan Kedah mengalami kerugian dalam projek pembalakan dan perladangan yang didaftarkan di negara itu.

"Pada 12 Oktober 2008, Kedah Corporation Berhad (KCB), anak syariakt milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah, telah menandatangani Perjanjian Penjualan Saham dengan MAS Incorporate (PNG) Ltd (MAS) bagi membeli 70 peratus saham dalam syarikat tersebut.

"MAS yang merupakan syarikat yang didaftarkan di Papua New Guinea telah ditawarkan untuk membangunkan dua kawasan seluas 114,429 hektar tanah di negara itu dan tanah-tanah itu adalah milik syarikat Baina Agro Forest Limited dan Magarida Resources Development Limited.

"KCB perlu membayar RM1.21 juta kepada vendor (seorang bekas pemilik MAS yang dilantik KCB bagi menjalankan perniagaan di Papua New Guinea) sebagai 'goodwill payment' bagi pindah milik saham 70 peratus kepada KCB dan bayaran dibuat dua peringkat dalam 2008 namun terma dalam perjanjian yang dibuat tidak memihak kepada KCB," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Tan berkata semakan Audit Negara mendapati pembayaran 'goodwill' tersebut tidak berasaskan justifikasi kerana tiada siasatan awal dilakukan sebelum pembelian dimuktamadkan.

"Kenapa perlu bayar 'goodwill' sedangkan KCB perlu membayar harga belian sebanyak RM31.21 juta bagi saham 70 peratus dalam MAS?," katanya.

Beliau berkata selain daripada pembayaran 'goodwill' kepada vendor, kerugian yang dialami juga disebabkan oleh pembayaran 'Mobilization Expenses' kepada MAS sebanyak RM3 juta, komisen dan yuran guaman sebanyak RM1.6 juta dan pinjaman daripada lima syarikat lain dan kos berkaitan sebanyak RM7.68 juta.

"Disebabkan kerugian itu, Lembaga Pengarah KCB telah memutuskan untuk menghentikan projek itu pada 1 Mac 2011.

"Menteri Besar kena jelaskan kenapa KCB tidak menjelaskan 'due diligence' dan merujuk kepada penasihat undang-undang negeri sebelum melakukan pelaburan yang tinggi?," soalnya.

Beliau berkata rakyat berhak tahu berhubung laporan audit tersebut dan kerajaan negeri hendaklah jangan terus berdiam diri dalam isu tersebut. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan