Perkhidmatan KTM Alami Gangguan Berikutan Kegelinciran Gerabak Tren Komuter

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter, tren elektrik (ETS)dan antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan utara dan selatan mengalami gangguan mulai hari ini hingga Sabtu berikutan kegelinciran gerabak tren komuter di sini, Rabu.

Pengurus Kanan Bahagian Khidmat Pelanggan Komuter KTM Shahril Sahak berkata tiga set gerabak tren komuter tergelincir antara Stesen Simpang Batu dan Stesen Putra pada 10.55 malam.

Berikutan insiden itu, semua perkhidmatan tren KTMB terpaksa mengalami perubahan masa perjalanan antara 15 minit hingga sejam, katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Shahril berkata ini kerana semua tren terpaksa menunggu giliran untuk berkongsi landasan dari Stesen Putra ke Stesen Bank Negara sebelum ke destinasi masing-masing.

Beliau juga berkata kerja memperbaiki landasan antara Stesen Simpang Batu dan Stesen Putra sedang giat dijalankan serta dijangka siap sepenuhnya esok.

Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan KTMB akan memeriksa landasan yang diperbaiki esok malam sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya pada pagi Sabtu.

"KTMB akan memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang status terkini mengenai perkhidmatannya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan