Kerajaan Tegas Uruskan Hutang Negara - Ahmad Husni

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam pembayaran setiap pinjamannya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata ini dapat dilakukan kerana kerajaan tegas dalam menguruskan hutang negara termasuk memastikan pendapatan yang diperolehinya adalah melebihi perbelanjaan mengurus.

"Dalam erti kata lain, kita (kerajaan) tidak meminjam untuk bayar gaji. Kita hanya meminjam untuk tujuan pembangunan yang memberi kesan berganda," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurutnya kerajaan juga sentiasa memastikan setiap hutang yang diambil mampu dibayar semula berbanding hanya melihat dari aspek 'leverage' apabila memohon pembiayaan.

"Dalam menguruskan hutang, kita begitu tegas. Kita cantum kedua-duanya dan pastikan ia tidak melebihi 55 peratus. Kita waspada dan serius tangani hutang," katanya. Ahmad Husni berkata kerajaan juga tegas dalam menentukan nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agar tidak melebihi kadar 55 peratus.

Berasaskan kepada Akta Pinjaman Domestik, beliau berkata pinjaman domestik mesti tidak melebihi 55 peratus berbanding KDNK manakala pinjaman luar tidak lebih RM30 bilion.

Beliau juga berkata kerajaan dalam proses memindahkan pinjaman perumahan penjawat awam ke pihak bank, yang dijangka dapat mengurangkan kira-kira RM6 bilion hutang negara setiap tahun.

Persidangan Dewan disambung Isnin ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan