Tidak Campur Tangan Konflik PAS-DAP Kedah - Mustafa Ali

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS Pusat tidak akan campur tangan dalam konflik yang timbul antara parti itu di Kedah dengan sekutu mereka daripada DAP.

Menyifatkan 'perbalahan' yang berlaku sebagai isu remeh serta tidak perlu diperbesarkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin isu berkenaan boleh ditangani Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Tak ada isu. Kedah (Menteri Besar) boleh selesaikan sendiri. Mereka boleh uruskan perkara ini," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa Dewan Ulama PAS Kedah membidas sikap DAP yang selalu tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam khususnya hati ahli-ahli parti itu apabila menentang undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri berkenaan.

Setiausaha dewan itu, Syeikh Zainol Asri Ramli dilaporkan berkata, DAP tidak sepatutnya bertindak demikian kerana terdapat perkara yang PAS boleh berpakat dengan DAP dan ada juga perkara yang tidak boleh, dalam pakatan pembangkang.

Kenyataan tegas Syeikh Zainol timbul selepas Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik menegaskan DAP tidak sekali-kali akan membenarkan undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri itu termasuk pelaksanaan garis panduan papan iklan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Guan Aik berkata, DAP membantah garis panduan itu yang antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam manakala model bukan Islam perlu berpakaian sopan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan