Subsidi K'jaan Ke Atas Kos Pengajian Seorang Pelajar Di IPTA Lebih 90% - Khaled Nordin

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan, ramai yang tidak sedar bahawa kerajaan telah memberi subsidi yang besar bagi yuran yang dikenakan kepada para pelajar di semua institusi pengajian tinggi awam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 seorang tetapi hakikatnya pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja.

Ini bermakna, 94.6 peratus kos pengajian tersebut telah diberikan subsidi oleh kerajaan.

"Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran yang sepatutnya ditanggung oleh seorang pelajar adalah RM61,200, tetapi yuran yang dibayar oleh pelajar hanya RM5,600 sahaja iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan.

"Manakala, bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran sebanyak RM6,800 sahaja. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1990-an lagi," kata Khaled ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2013) bagi KPT di Dewan Rakyat malam Selasa.

Secara keseuruhannya, kata beliau, lebih 90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai).

"Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.

"Pembayaran yuran juga membentuk golongan pelajar yang komited dan bertanggungjawab ke atas pelaburan yang dikeluarkan mereka," ujarnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, trend semasa negara maju di dunia sekarang telah mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya ialah United Kingdom bermula pada tahun 1998.

Namun, bagi meringankan beban pelajar, kerajaan Britain telah memperkenal skim pinjaman pelajar.

Langkah yang sama juga diikuti oleh beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium dan Belanda.

Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro, kata beliau.

Menurut Khaled, begitu juga dengan negara Magribi di mana menteri pengajian tinggi dalam laman sesawang Morocco World News pada 23 Julai 2012 telah mengumumkan keputusan untuk menghentikan pengajian tinggi percuma.

Katanya, sungguhpun terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway yang dikatakan memberikan pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia.

Kadar cukai pendapatan individu di negara tersebut adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan Goods and Services Tax (GST) dan Value-added Tax(VAT) sekitar 23 hingga 25% yang tidak diamalkan di Malaysia.

"Pendapatan perkapita setahun negara-negara tersebut juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia di mana Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark sebanyak AS$60,390 dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita Malaysia hanya AS$8,420 sahaja," ujar Khaled.

Menurut Khaled, pendapatan per kapita hasil daripada cukai yang tinggi ini telah digunakan untuk membiayai pengajian tinggi.

Ini menunjukkan bahawa sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara di dunia ini kerana pasti akan ada pihak yang perlu membiayainya, jelas beliau.

"Dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 orang pelajar IPTA setahun.

"Hujah yang menjadikan Negara Turki sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah dan keadaannya sama seperti Malaysia.

"Negara Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi)," jelas beliau.

Malah katanya, Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti di Turki.

Sebaliknya, tambah Khaled, sebahagian besar pelajar di Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada tahun 1961 dan kadar faedah yang dikenakan adalah berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa.

"Kadar purata CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan," kata beliau.

Sebagai rumusan, jelas Khaled, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara maju menjelang 2020.

Di samping itu, katanya lagi, pengajian tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah merupakan entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan.

Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Manakala kualiti pengajian tinggi negara juga akan jatuh kerana faktor percuma menghilang nilai sebenar ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar.

Sehubungan dengan itu, pada masa ini, Kerajaan belum bersedia untuk membiayai pengajian tinggi dengan mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat negara ini, tambah Khaled.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan