PAS Kelantan Tidak Mohon Bina Lebuh Raya Rakyat

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan masih belum menerima permohonan rasmi daripada Kerajaan PAS Kelantan bagi Projek Lebuh Raya Rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor bagaimanapun berkata, beliau hanya dihubungi seorang exco kerajaan negeri itu bagi memaklumkan mengenai cadangan pembinaan lebuh raya tidak bertol berkenaan.

"Saya setuju kalau nak bincang atau minta bantuan teknikal. Tapi nak bina lebuh raya tidak bertol ini kalau tak silap saya akan menelan belanja sebanyak RM1.8 bilion," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau mengulas pertanyaan yang dibangkitkan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) yang ingin mengetahui mengenai status cadangan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan antara Kota Bharu dan Kuala Krai.

Bagaimanapun Shaziman berkata, kerajaan Persekutuan akan memberi keutamaan kepada cadangan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMk-11).

"Kerajaan Pusat akan laksanakan, cuma berperingkat-peringkat. Kalau nak bantuan teknikal atau kerjasama kita boleh bagi. Cuma saya tak yakin sangat boleh kutip derma.

"Kerajaan tak pernah batalkan projek naik taraf lebuh raya persekutuan Kota Bharu-Kuala Krai. Projek itu hanya ditangguhkan sementara untuk kerajaan menilai semula dan mencari alternatif lebih baik berbanding skop asal," katanya.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Lebuh Raya Rakyat tanpa tol dari Kota Bharu ke Kuala Krai.

Lebuh raya dua lorong sehala itu yang melibatkan kos kira-kira RM1.8 bilion dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dan kos bagi projek itu turut melibatkan kutipan sumbangan daripada orang ramai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan