Pengiktirafan Produk Warisan Bukan Bermaksud Pemilikan - Salang

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan sesuatu produk sebagai warisan kebangsaan tidak melibatkan faktor pemilikan oleh kerajaan atau negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata sebaliknya pengiktirafan itu diberi dengan tujuan memelihara dan memulihara produk-produk berkenaan terutamanya yang diklasifikasikan sebagai butiran warisan tidak ketara yang diwarisi turun-temurun oleh sesuatu bangsa, kaum mahupun etnik.

"Pewartaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 bukanlah satu pemilikan tapi lebih menjurus kepada memelihara dan memulihara produk warisan agar kekal lestari," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) pada sesi soal-jawab di sini.

Nancy ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengenal pasti asal produk-produk warisan terutama yang hampir sama dengan produk dari Indonesia.

Salang berkata produk-produk dengan nilai sepunya itu harus dilihat sebagai suatu keistimewaan dalam memartabatkan budaya serumpun dan bukannya sebagai persaingan atau pemisahan yang akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata kementerian mengalu-alukan penglibatan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan untuk membantu memupuk hubungan dua hala tersebut.

Menjawab soalan asal Nancy mengenai cara kementerian mengenal pasti sesuatu produk sebagai warisan negara, Salang menggariskan sembilan perkara termasuk ia perlu mempunyai kepentingan sejarah atau hubungan dengan sejarah Malaysia, mempunyai ciri-ciri reka bentuk estetik serta mempamerkan kepelbagaian atau integrasi bentuk yang luar biasa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan