Kerajaan Filipina Dan MILF Meterai Perjanjian Damai Bersejarah

Diterbitkan: Isnin, 15 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada majlis jamuan tengahari sambil diperhatikan oleh Presiden Benigno S. Aquino III di Istana Malacanang di Manila, Isnin. Hadir sama ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada majlis jamuan tengahari sambil diperhatikan oleh Presiden Benigno S. Aquino III di Istana Malacanang di Manila, Isnin. Hadir sama ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. -fotoBERNAMA

MANILA: Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di sini hari ini bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Detik bersejarah bagi memulakan proses penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, pada pukul 3 petang waktu tempatan.

Majlis yang turut disaksikan oleh Ketua MILF, Murad Ebrahim itu ditandatangani oleh wakil kerajaan Filipina, Marvic Leonen dan Ketua Perundingan Damai MILF, Mohagher Iqbal.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lepas.

Kedua-dua ketua kerajaan itu memuji perjanjian damai itu dengan Aquino menyifatkan ia sebagai membuka lembaran baru dalam sejarah negara itu manakala Najib berkata penduduk Bangsamoro memang berhak kepada keamanan.

Perdana Menteri, yang tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor di sini semalam, berkata perjanjian itu merupakan peluang bagi memastikan penduduk Bangsamoro dapat menikmati manfaat daripada hasil perdamaian.

Bercakap pada majlis itu di Dewan Rizal, istana itu, Najib berkata perjanjian tersebut merupakan peluang bagi mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina ekoran pegolakan selama empat dekad.

Sambil memberi jaminan Malaysia berdiri bersama rakyat Filipina dalam memastikan kerangka perjanjian damai berjalan lancar, Najib, semasa dalam ucapan 15 minit itu, berkata Kuala Lumpur sedia bertindak sebagai rakan dalam membantu merealisasikan sepenuhnya perjanjian perdamaian itu.

"Adalah menjadi harapan besar bahawa perjanjian ini membawa kepada era kesederhanaan baru yang mana amalan agama dan hak untuk hidup bersama tidak lagi menjadi isu konflik. Penduduk berbagai agama hidup bersama, disatukan dengan nilai-nilai sama di bawah perlembagaan sama.

"Perjanjian yang kita saksikan hari ini menandakan permulaan era baru di selatan Filipina. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar menanti perjanjian muktamad nanti," kata Najib.

Majlis penuh bersejarah itu menandakan era baru dalam proses perdamaian di Mindanao yang mana pergolakan selama lebih 40 tahun itu telah meragut hampir 150,000 nyawa.

Kerangka perjanjian yang disifatkan sebagai 'perjanjian teras' itu bertindak sebagai pelan damai bagi penubuhan entiti baru Bangsamoro yang bakal menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.

"Kerangka di depan kita akan membawa kepada akhirnya keganasan yang mengorbankan banyak nyawa dan memendekkan banyak peluang untuk masa depan. Ia akan melindungi hak penduduk Bangsamoro dan memelihara kedaulatan dan integriti wilayah Filipina.

"Ianya asas kukuh yang mana keamanan berkekalan boleh dibina," kata Najib yang mana ucapannya menerima tepukan gemuruh daripada hadiran yang membanjiri dewan tersebut.

Majlis menandatangani itu didahului dengan lagu kebangsaan Filipina dan disusuli dengan bacaan doa mengikut agama Islam dan Kristian.

Terdahulu, ketibaan Najib dan isteri di Istana Malacanang disambut oleh Aquino dan diberi sambutan rasmi.

Diiringi dengan presiden, Najib memeriksa barisan kehormat yang terdiri daripada Pengawal Presiden di perkarangan istana presiden itu.

Najib menegaskan bahawa kedua-dua pihak telah memberikan sesuatu dalam mencari medan persamaan dalam menghadapi perbezaan masing-masing.

"Rakyat selatan Filipina telah menerima segala-galanya dalam memilih keamanan daripada konflik, kestablian ke atas keadaan huru-hara dengan kedua-dua pihak menyatakan kepercayaan masing-masing bukan sahaja dalam prinsip demokrasi, keadilan dan toleransitetapi juga aplikasi mereka dalam khidmat mencapai kebaikan yang lebih besar," katanya.

Sambil menyatakan kesediaan membantu penduduk Bangsamoro, Najib berkata Malaysia sanggup menawarkan latihan dan pendidikan supaya kanak-kanak di wilayah itu boleh mengintai masa depan dan tidak seperti bagi ibu bapa mereka.

"Sejak beberapa dekad, Malaysia menjadi rumah kepada beribu-ribu penduduk mencari perlindungan daripada pergolakan itu. Generasi mereka tumbuh di negara kami, jauh daripada tanah pusaka mereka. Ia menjadi harapan kami bahawa perjanjian ini akan memulangkan semula tahanair kepada mereka. Bagi Mindanao, tidak akan lagi ada kehilangan generasi," kata Najib.

Ketika menyatakan kebanggaan negara diberi penghormatan dalam memainkan peranan mengatur perjanjian itu, Perdana Menteri berkata Malaysia sanggup membantu dalam membangunkan institusi di Mindanao supaya masyarakat Bangsamoro yang membesar di wilayah itu dapat diperkasakan lagi.

Malaysia juga sanggup membantu dalam bidang pembangunan tanah supaya golongan petani, yang merupakan bekas pejuang kemerdekaan di Bangsamoro, boleh menikmati hasil daripada keamanan yang dicapai, katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut meningatkan bahawa perjanjian hari ini tidak merupakan titik penghujung tetapi suatu permulaan yang memerlukan banyak usaha dilaksanakan.

Beliau menegaskan kerangka perjanjian itu merupakan suatu dokumen bersejarah 'tetapi ia tidak menyelesaikan segala masalah'.

Sebaliknya, ia menetapkan parameter di mana kemungkinan keamanan berkekalan ditemui. Saya harap semua pihak terus mengiktiraf tanggungjawab masing-masing dalam usaha mencapai perjanjian muktamad," katanya.

Najib berkata bahawa dokumen ditandatangani hari ini adalah satu ungkapan amanah yang disandarkan oleh rakyat dalam proses perdamaian.

"Amanah ini ada atas usaha keras dan ia harus dilindungi, terutama sekali dihormati. Hanya mereka yang bertanggungjawab bagi konflik ini boleh menghalang daripada ianya berulang," katanya.

Di samping itu, beliau berkata pengiktirafan harus diberikan kepada ketua perunding Leonen dan Mohagher Iqbal dan pasukan masing-masing serta penyelaras Malaysia, Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed, yang turut menjadi saksi kepada perjanjian itu.

Sementara itu, Aquino dalam ucapannya, turut mengucapkan terima kasih kepada Najib dan kerajaan Malaysia atas usaha mereka menyelaras proses kedamaian tersebut.

Beliau juga turut memuji Tengku Mohamed atas kebijaksanaannya yang membolehkan kerajaan Filipina dan MILF mencapai satu persetujuan.

Dalam pada itu, Murad dalam ucapannya, turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia sambil merayu kepada puak lain di Mindanao iaitu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), menyokong perjanjian tersebut dengan menyertai dalam proses pembangunan semula wilayah itu.

Majlis itu dihadiri antara lain Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Prof Ekmeleddin Thsanoglu.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan