Ops Kesan Perkeso 2012 Dilancar 1 Nov

Diterbitkan: Sabtu, 13 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mulai 1 November ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan 'Ops Kesan Perkeso 2012' bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan mencarum.

Perkeso dalam kenyatan pada Jumaat menyatakan operasi itu juga bertujuan menjaga kebajikan pekerja yang layak dilindungi di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat jika berlaku kemalangan sewaktu bekerja.

"Penguatkuasaan itu adalah tertakluk kepada majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih dalam tempoh 30 hari pertama diambil bekerja mengikut Seksyen 3(1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969," menurut kenyataan itu.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan majikan dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehingga kini, Perkeso telah mengambil tindakan undang-undang terhadap 6,127 majikan sepanjang 2011 dengan jumlah denda RM1.3 juta bagi kesalahan-kesalahan termasuk gagal mendaftar perusahaan dan pekerja serta lewat melaporkan kemalangan.

Majikan yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian di 46 pejabat Perkeso di seluruh negara termasuk di bandar utama yang turut dibuka pada Sabtu mulai 8 pagi hingga 1 petang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan