Sultan Selangor Minta Penyokong Patuhi Peraturan

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM : Bahang Piala Malaysia turut mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan penyokong Selangor dan Kelantan supaya mematuhi semua peraturan semasa menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam Jumaat.

Baginda bertitah peraturan yang ditetapkan itu adalah untuk kebaikan dan keselamatan semua pihak semasa berada di stadium. "Janganlah ditimbulkan perasaan yang boleh mencetuskan huru-hara seperti membakar dan memecahkan kerusi, menghina serta mencerca antara satu sama lain.

"Memadailah kedua-dua penyokong memberi sorakan sebagai memberi semangat kepada pasukan masing-masing untuk mencapai kejayaan dan menikmati perlawanan itu," kata baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani di sini, Khamis.

Sultan Sharafudin menasihatkan para penyokong agar tidak emosional dan dapat menerima keputusan perlawanan dengan hati terbuka serta penuh semangat kesukanan.

Sambil meminta para penyokong berkelakuan baik dan bersopan ketika berada di luar stadium selepas perlawanan, Sultan Selangor bertitah baginda yakin pasukan Polis DiRaja Malaysia dapat mengawal keadaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan