PTPTN Tawar Sistem Ujrah Kepada Peminjam Yang Telah Di senarai Hitam – Agos Cholan

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menawarkan kepada peminjam yang disenarai hitam atau disaman, untuk menukar pinjaman mereka kepada sistem pinjaman Islam atau Ujrah bermula Rabu depan.

Mengumumkan demikian, Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan berkata sistem Ujrah menawarkan upah satu peratus setahun atas kadar rata adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah bertujuan mengurangkan beban peminjam.

Beliau berkata peminjam terbabit wajar merebut peluang tersebut memandangkan tawaran bertukar kepada sistem Ujrah dijadualkan berakhir 31 Dis ini.

"Inilah masanya peminjam yang telah disenarai hitam tampil ke mana-mana cawangan PTPTN seluruh negara untuk mengambil peluang ini," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja PTPTN ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, Khamis.

"Jika sebelum ini PTPTN hanya menawarkan sistem ini kepada peminjam yang membayar secara konsisten, namun tawaran ini dibuat sebagai hadiah kepada peminjam terbabit untuk melangsaikan hutang pendidikan mereka," katanya.

Agos berkata tawaran pertukaran sistem pembayaran daripada tiga peratus kepada satu peratus ini dilihat dapat menarik kira-kira 132,800 peminjam PTPTN yang telah disenarai hitam atau disaman.

Katanya setiap peminjam yang tampil ke PTPTN akan diberikan surat tawaran yang perlu diisi dengan maklumat terkini dan diserahkan semula ke PTPTN dalam masa 90 hari dari tarikh surat tawaran diperoleh.

Ketua Akauntan PTPTN Mastura Mohd Khalid menyeru peminjam yang telah disenarai hitam atau disaman agar memulangkan surat tawaran yang telah lengkap diisi dalam masa seminggu bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai faedah.

Katanya, antaranya peminjam tersebut dapat membayar secara konsisten dan menikmati diskaun 10 peratus setelah nama peminjam digugurkan dari senarai hitam.

"Peminjam yang ingin datang ke PTPTN bagi tujuan ini, perlu membawa kad pengenalan bagi memudahkan kerja-kerja penyemakan baki pinjaman," katanya.

Beliau menyeru mana-mana peminjam yang disenarai hitam atau disaman agar membuat semakan sekurang-kurang seminggu sebelum ke luar negeri agar tidak timbul kesulitan di kemudian hari.

"Jika mereka ini telah tampil ke PTPTN dan telah menyerahkan surat tawaran yang telah lengkap diisi, maka proses pengguguran nama daripada senarai hitam akan mengambil masa seminggu kerana PTPTN perlu bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi proses itu," katanya.

Pengurus Besar Kanan Tuan Din Tuan Mat menyifatkan tawaran ini sebagai satu langkah terbaik yang diambil PTPTN bagi menarik minat serta memberi peluang kepada peminjam terbabit untuk membayar balik pinjaman pendidikan mereka.

"Jangan berlengah lagi untuk datang ke PTPTN," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 424 peminjam PTPTN membabitkan pinjaman berjumlah RM4.6 juta memohon untuk melunaskan hutang pinjaman mereka sepenuhnya berikutan tawaran rebat 20 peratus diumumkan pada Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, PTPTN telah meluluskan 179 permohonan membabitkan RM1.7 juta dengan jumlah diskaun diluluskan sebanyak RM325,809.

Sehingga semalam, PTPTN menerima bayaran (daripada peminjam yang memohon melalui tawaran rebat 20 peratus) RM1.303 juta dengan jumlah diskaun RM325,000. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Jumaat, 28 November 2014 12:00 AM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 4)

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan