Penerbit Filem Dan Drama Cina Boleh Bantu Ekonomi Negara – Salang

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengusaha filem dan drama bahasa Cina boleh membantu ekonomi negara dengan menghasilkan produk berkualiti untuk dieksport ke luar negara, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum, pada Khamis.

Beliau berkata produk seni berkualiti juga akan mengurangkan kebergantungan kepada filem dan drama dari negara luar untuk ditayangkan di stesen televisyen tempatan.

"Negara juga mempunyai keunikan dan keindahan alam semula jadi tersendiri yang sesuai untuk dijadikan lokasi penggambaran filem dan drama," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persatuan Pengusaha TV dan Filem Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLCTFA) di sini.

KLCTFA ditubuhkan sebagai platform kepada pengusaha filem dan drama bahasa Cina untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi promosi dan pertukaran kemahiran serta menjalin kerjasama dengan syarikat hiburan luar negara.

Persatuan itu yang diketuai Sam Yap dan dianggotai lebih 100 orang, diasaskan secara bersama oleh penerbit, pengarah, pelakon dan individu yang berminat dalam bidang seni. Salang berkata pengaruh bidang seni terhadap ekonomi seperti di Hollywood, Hong Kong dan Korea Selatan diterima di serata dunia.

Bakat dan kebolehan anak tempatan dalam dunia seni turut diiktiraf di persada antarabangsa apabila pelakon dan penyanyi Malaysia diterima di Taiwan dan China.

"Pengalaman mereka dalam bidang seni boleh dimanfaatkan dalam menghasilkan filem atau drama kerana sudah pasti mereka mengetahui apa yang diinginkan oleh penonton luar," katanya.

Beliau juga menyarankan agar penggiat industri seni bersatu dengan menyertai persatuan seperti KLCTFA bagi melahirkan lebih banyak filem dan drama yang berdaya saing.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Salang berkata rakyat Malaysia kini mudah menerima filem dan drama tempatan meskipun sebahagian besar mereka masih mengutamakan hasil produksi luar. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan