Menghina Jalur Gemilang Bererti Menodai Kedaulatan Negara – Raja Nazrin

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyifatkan perbuatan menghina Jalur Gemilang, yang merupakan simbol negara, samalah seperti menodai kedaulatan negara.

"Biarpun wujud perbezaan politik atau ideologi antara kita, simbol negara tetap menjadi kepunyaan semua rakyat. Dengan membiarkan simbol ini dihina, kita mendedahkan diri kita kepada pelbagai akibat buruk, termasuk kemungkinan timbulnya kemarahan, mengundang tindak balas dan sebagainya.

"Perasaan benci dan marah adalah antara perasaan yang paling kuat mempengaruhi emosi manusia. Sekiranya ia menguasai masyarakat, ia begitu sukar, dan selalunya tidak mungkin dapat dikawal.

"Oleh itu, simbol negara kita perlu diletakkan supaya mengatasi urusan politik," titah baginda ketika merasmikan 'Brand Transformer dan Forum Malaysia Brand' 2012, di sini, Khamis.

Sejajar dengan itu, titah Raja Nazrin, perbuatan menghina bendera sebenarnya mencerminkan lebih daripada sikap tidak menghormati dan kritikan yang ingin disampaikan seseorang.

"Perbuatan demikian sengaja dirancang untuk menghina sesuatu yang dihargai dan dianggap menjadi sumber kebanggaan dan kebahagiaan kebanyakan orang lain.

Biar apa pun tafsiran seseorang tentang hak seseorang individu untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi kesan buruk akibat tindakan mereka itu tidak boleh diabaikan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah beberapa negara, termasuk Austria, Perancis, Jerman dan Switzerland menggubal undang-undang bagi melindungi simbol kebangsaan masing-masing dan mengenakan hukuman khusus bagi perbuatan menghina bendera negara.

"Negara lain melindungi simbol kebangsaan mereka melalui undang-undang umum sedia ada bagi tujuan memelihara ketenteraman, mencegah perbuatan subversif dan jenayah yang berpunca daripada kebencian," titah baginda.

Raja Nazrin juga menzahirkan kebimbangan baginda berhubung kecenderungan sesetengah pihak mencemarkan nama baik dan memandang rendah simbol negara, yang sebenarnya memainkan peranan begitu penting dalam kehidupan bernegara di Malaysia.

"Beta juga bimbang dengan perbuatan sesetengah pihak yang tergamak melemahkan tonggak institusi yang menegakkan negara ini," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah terdapat sekurang-kurangnya dua sebab kenapa perkara itu terjadi. Pertama kerana kefahaman yang silap tentang bagaimana hak dan kebebasan individu perlu diamalkan dalam konteks kewujudan sesebuah negara.

Kedua ialah akibat daripada perubahan generasi yang menghakis kepentingan, makna dan nilai pembinaan negara serta simbolnya.

Raja Nazrin bertitah manusia sentiasa dahagakan kebebasan, tetapi sekiranya sempadannya tidak dihormati apabila mengamalkan kebebasan individu, maka akhirnya, kita akan menjadi lemah dan tidak dapat mengukuhkan ikatan yang menghubungkan kita sebagai sebuah negara bangsa.

"Oleh itu, kita perlu menyemai dalam diri anak muda kita sikap bertanggungjawab dan semangat sebagai anggota masyarakat," titah baginda.

Mengenai perubahan generasi, baginda bertitah: "Setelah berlalu satu generasi, manusia selepasnya semakin kurang memahami keadaan yang membentuk dan membina negara ini. Sebab itulah, beta ingin menegaskan tentang peri pentingnya kefahaman dan pengajaran lebih mendalam mengenai sejarah, di sekolah kita.

"Dengan cara ini, pelajar kita akan lebih menghargai dan menghormati institusi dan simbol negara yang terdapat di sekeliling kita. Penghargaan dan perasaan hormat ini jelas sekali tidak wujud apabila simbol negara dihina dengan sesuka hati," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah sebagai sebuah negara pelbagai budaya dan agama, simbol kebangsaan Malaysia seperti Jalur Gemilang, Jata Negara, institusi raja, Yang di-Pertuan Agong dan sembilan Raja Melayu adalah penting, bukan sekadar dibiarkan menjadi artifak budaya dan peninggalan tradisi sejarah semata-mata.

"Simbol kenegaraan yang telah kita bina dengan begitu tekun serta mempunyai makna sosial yang begitu besar ini mempunyai fungsi yang jauh lebih besar dan penting bagi negara ini.

"Fungsinya ialah untuk menjadi sauh serta panduan yang memberi tunjuk arah kepada kita apabila kita berdepan dengan cabaran dan krisis sebagai sebuah negara.

"Oleh itu, ia bukan saja milik masa lepas, tetapi juga relevan - malah amat penting - bagi negara ini untuk masa lampau dan masa akan datang. Ia bolehlah dianggap sebagai Templat Untuk Negara," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah urusan pembinaan negara yang sebaik-baiknya perlulah merangkumi bidang politik, ekonomi serta sosial dan simbol kenegaraan yang diwujudkan selama ini sebenarnya bertujuan untuk memupuk keterangkuman ini.

"Oleh itu, ia perlu dihargai, dihormati dan dilindungi kerana ia bertujuan untuk menyatukan, bukan memecahbelahkan, untuk mengintegrasikan, bukan mencerai-beraikan," titah baginda. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan