280 Orang Dikurniakan Darjah Kebesaran Persekutuan 2012

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad Tan Sri Mohamed Azman Yahya hari ini mendahului 280 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan 2012, di Istana Negara di sini, Khamis.

Beliau dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muad'zam Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Istiadat Pengurniaan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut menerima PSM ialah bekas Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ismail Hassan (B), Pengarah Pusat Sri Murugan Tan Sri Dr M. Thambirajah dan Penasihat MCA Tan Sri Lim Kang Hoo.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 penerima termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bayu, Baling, Kedah Datuk Azmi Che Hussain; ADUN Kedup (Sarawak) Datuk Frederick Bayoi Anak Manggie; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Noharuddin Nordin@Harun dan Pengarah Perubatan, Pusat Penjagaan Jantung Kuala Lumpur (KLHC) Prof Dr Mohamed Rafiq Mohamed Ibrahim.

Seri Paduka juga mengurniakan darjah Johan Mangku Negara kepada lapan penerima, Johan Setia Mahkota (22 penerima), Kesatia Mangku Negara (60), Ahli Mangku Negara (75) dan Pingat Pangkuan Negara (99).

Turut menerima AMN ialah Editor Penyuntingan Bahasa Melayu, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Rohana Mustafa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan