Kerajaan Digesa Saman Penyebar Fitnah Isu Scorpene

Diterbitkan: Rabu, 10 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pada Rabu mendesak Kementerian Pertahanan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang telah memfitnah kerajaan berhubung pembelian kapal selam Scorpene.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) berkata, kerajaan sudah mempunyai asas kukuh berikutan kenyataan pendakwa raya Perancis, Yves Charpenel, berhubung ketiadaan sebarang perbicaraan di negara Eropah itu mengenai pembelian kapal selam berkenaan oleh Malaysia, yang bercanggah dengan dakwaan pihak terbabit.

"Saya percaya kerajaan mempunyai asas-asas yang kukuh untuk mengambil langkah drastik mengemukakan saman malu terhadap pengkhianat-pengkhianat ini.

"Bukan sahaja rakyat ditipu malah golongan yang tidak mengenal malu ini juga telah mengutip derma daripada orang ramai untuk memantau 'perbicaraan' itu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kemudian, Zahrain turut menyarankan supaya undang-undang khusus diwujudkan untuk mengawasi kegiatan ejen asing yang mencampuri urusan dalaman negara ini.

Zahrain berkata Malaysia mungkin berhadapan malapetaka politik, ekonomi dan sosial jika ejen asing terus bersekongkol dengan organisasi tempatan.

Dalam pada itu, Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) turut membangkitkan artikel oleh Nile Bowie yang dikatakan menulis untuk Centre for Research on Globalisation di Montreal, Kanada, yang antara lain menyentuh pembiayaan dana asing untuk kumpulan pro-pembangkang di negara ini.

Artikel itu mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi anggota panel 'Anugerah Demokrasi' anjuran National Endowment for Democracy (NED) di Washington, Amerika Syarikat.

Ia mengaitkan NED dengan penyediaan dana operasi kepada sebuah portal berita pro-pembangkang serta badan bukan kerajaan, Suaram.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan