Tahap Penglibatan Faktor Wisma Putra Tegur Diplomat Singapura

Diterbitkan: Isnin, 8 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan Wisma Putra menegur penglibatan tiga diplomat Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk tahap penglibatan mereka.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagaimanapun berkata kerajaan mengambil tindakan terbaik bagi menangani isu berkenaan bagi menjaga hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Tindakan yang kita ambil mengambil kira pelbagai faktor termasuklah tahap penglibatan mereka sama ada mereka hanya hadir sebagai pemerhati setempat sahaja atau telah turut serta dalam perarakan," katanya di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin mengetahui mengenai rasional Kementerian Luar menegur Kedutaan Singapura ekoran penglibatan tiga diplomat republik itu.

Menjelas lanjut Anifah berkata, teguran berkenaan dibuat kerana isu penyertaan tiga diplomat itu dalam perhimpunan Bersih 3.0 menarik perhatian umum sama ada di Malaysia mahupun Singapura.

"Namun dengan terjalinnya hubungan dua hala yang kian berkembang baik, isu tersebut berjaya ditangani dengan baik menerusi perbincangan yang dibuat dengan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, K. Shanmugam," katanya.

Bagaimanapun Anifah enggan mendedahkan identiti tiga diplomat berkenaan demi kepentingan keselamatan.

"Tentang siapakah diplomat yang terbabit tidak perlulah saya nyatakan di sini.

"Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab akan sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa yang antara lain mengambil langkah yang wajar mengenai keselamatan para diplomat asing," katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kerajaan Singapura memanggil semula tiga diplomatnya dan digantikan dengan pegawai lain kerana mereka melanggar etika hubungan diplomatik antara dua negara.

Selain Perkasa, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) turut membuat desakan supaya tiga pegawai itu meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat negara ini kerana mencampuri hal ehwal negara.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan