Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua - KP JTM

Diterbitkan: Isnin, 8 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah pemikiran yang menganggap pendidikan dalam bidang kemahiran dan vokasional sebagai bidang pengajian kelas kedua.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan berkata tanggapan itu perlu dikikis kerana lulusan institut latihan dan kemahiran di negara ini mampu memenuhi keperluan pasaran industri tempatan dan luar negara.

"Masalahnya sekarang ni dari segi minda masyarakat. Media perlu memainkan peranan untuk menukar pemikiran masyarakat, 'think out of the box'. Mereka seperti tidak boleh menerima apabila anak mereka mahu bekerja di kilang.

"Mereka tidak tahu kerja kilang tu taraf mana. Bukan semua yang kerja kilang tu jadi pekerja biasa. Ada yang menjadi 'supervisor', 'technician'. Kalau semua nak kerja kerajaan mana boleh, kilang siapa yang nak kerja? Lagi satu pelaburan macam mana nak masuk? Kerja di mana-mana sama sahaja, yang penting ikhlas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bagi sekolah-sekolah teknik dan vokasional seluruh negara tahun 2012 di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), di sini, Isnin. Romli berkata antara 10,000 hingga 13,000 pelatih institut latihan dan kemahiran di bawah JTM menamatkan pengajian mereka setiap tahun dan 88 peratus berjaya mendapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh enam bulan.

"Hanya 12 peratus daripada jumlah itu masih belum mendapat kerja dan mereka dalam proses mencari pekerjaan," katanya.

Beliau berkata pelajar juga berpeluang memiliki kerjaya yang baik dalam bidang itu kerana kemahiran dan latihan yang diterima menjadikan mereka mudah 'dipasarkan'.

Mengulas lanjut, Romli berkata seiring dengan usaha kerajaan untuk mentransformasikan bidang kemahiran dan vokasional, sebanyak empat institut latihan kemahiran baharu akan dibuka iaitu di Taiping, Perak; Jerantut, Pahang; Kemaman, Terengganu dan Bintulu, Sarawak yang dijangka beroperasi pada Januari dan Julai tahun depan.

Katanya ketika ini terdapat 28 institut latihan di bawah JTM sedang beroperasi dan berkeupayaan melatih 23,000 pelajar setiap tahun dengan menawarkan 68 bidang kemahiran dan vokasional di seluruh negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan