Muhyiddin Gesa Gerakan Dakwah Sebar Mesej Perpaduan

Diterbitkan: Isnin, 8 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gerakan dakwah di Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam menyebarkan mesej perpaduan secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berharap peranan itu boleh dilaksanakan dengan berkesan kerana sifat gerakan dakwah yang bebas dan mempunyai pengaruh merentasi batas politik.

"Saya yakin perpaduan ummah akan dapat dicapai sekiranya semua pihak ikhlas dalam memperjuangkannya tanpa ada tujuan lain selain melihat Islam terus dimartabatkan dan syiar Islam ditegakkan di negara kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

Muhyiddin turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya mengelakkan perpecahan sesama sendiri dan mengekalkan perpaduan sedia ada memandangkan ia faktor terpenting yang menentukan kesejahteraan ummah.

"Janganlah kita membiarkan perbezaan fahaman atau pandangan politik menyebabkan kita bersengketa sesama sendiri, berpecah belah dan akhirnya merugikan umat Islam. Pertahankanlah nikmat kesejahteraan yang kita kecapi hari ini dengan mengekalkan perpaduan yang kita ada," katanya. Timbalan perdana menteri dalam pada itu menegaskan bahawa umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk aspek budaya, ideologi dan akidah.

Katanya cabaran paling ketara muncul akibat penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang antara lain menganjurkan supaya umat Islam membebaskan diri daripada kepercayaan dan peraturan agama.

"Pendukung fahaman ini menghalalkan pergaulan bebas, amalan perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran yang lain kononnya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia.

"Fahaman ini jika dibiarkan menular akan menyebabkan berlakunya keadaan di mana masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan berasaskan perpaduan dan pedoman agama," katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata gerakan dakwah di negara ini perlu diperkasa untuk memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat supaya tidak terkeliru dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran agama yang sebenar.

Bagi tujuan itu, tambahnya, para ulama, ilmuan Islam dan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam perlu sama-sama berganding bahu, di samping kerajaan yang akan terus menyokong usaha itu.

Muhyiddin berkata hubungan yang akrab antara para ulama, gerakan dakwah dan kerajaan membolehkan syiar Islam berkembang pesat di negara ini, berbeza dengan beberapa negara yang mengamalkan dasar sekular yang memperlihat golongan dakwah sentiasa ditekan oleh pemerintah.

Beliau berkata pendekatan dakwah yang bijaksana itu dikagumi para ulama dan badan-badan Islam antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh kerana mampu menjadi antara negara Islam termaju dan pada masa yang sama memberi tumpuan seimbang kepada aspek perpaduan dan pembangunan ummah.

Beberapa ulama luar yang datang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini berharap umat Islam Malaysia mempertahan apa yang dinikmati hari ini, di samping memberi ingatan bahawa pergolakan yang sedang melanda beberapa buah negara Islam lain tidak harus dibiarkan berlaku di negara kita, kata Muhyiddin.

Beliau kemudian melancarkan tiga buah buku terbitan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang juga penganjur seminar berkenaan.

Seminar dua hari itu yang mengumpulkan para ilmuan Islam dari seluruh negara bertujuan mencari landasan yang betul untuk mengembalikan Malaysia sebagai koridor wacana keilmuan, keintelektualan dan menjadi pusat dakwah Islamiyyah yang dihormati. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan