Sindiket Khidmat IPTV Haram Turut Tawar Filem Lucah Ditumpas

Diterbitkan: Sabtu, 6 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Polis menahan seramai 12 orang dan menumpaskan sindiket Televisyen Internet Berbayar (IPTV) secara haram, yang pertama seumpamanya di negara ini, malah turut menawarkan lima saluran pornografi.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, sembilan lelaki dan tiga wanita, berusia antara 28 dan 40 telah ditahan.

Mereka ditahan dalam operasi bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyber Security Malaysia, dalam lima serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada Khamis.

Polis merampas pelbagai barangan seperti ‘server’, komputer dan pentafsir kod bernilai kira-kira RM400,000 yang digunakan dalam penyiaran filem-filem dari Hong Kong, China, Thailand dan Indonesia.

“Dengan penahanan dan rampasan ini, polis telah melumpuhkan sindiket yang telah beroperasi sejak setahun lalu,” kata Mohd Rodwan kepada para pemberita di sini Jumaat.

“Semasa risikan dijalankan selama sebulan, kami mendapat maklumat bahawa syarikat itu menyediakan perkhidmatan IPTV secara haram,” katanya, sambil menambah bahawa ketiga-tiga agensi itu kemudian menyerbu kondominium Park View Tower di sini pada pukul kira-kira 11 malam.

“Kami mendapati suspek menggunakan tingkat enam sebagai pusat operasi mereka untuk menyediakan aplikasi dan kandungan kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya.

Antara mereka yang ditahan ialah satu pasangan di mana suami dipercayai menjadi pentadbir manakala isteri dikatakan seorang guru sekolah menengah.

Tujuh daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara lima yang lain ditahan sehingga Isnin untuk disoal siasat.

Sindiket itu berjaya mendaftar sekurang-kurangnya 2,000 pelanggan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan