Media Sosial Kekangan PDRM Atasi Persepsi Jenayah - KPN

Diterbitkan: Sabtu, 6 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tan Sri Ismail Omar menyifatkan inisiatif kerajaan menerusi Bajet 2013 mampu menyuntik semangat yang tinggi dikalangan anggota PDRM. -foto KAMARUL ARIFFIN
Tan Sri Ismail Omar menyifatkan inisiatif kerajaan menerusi Bajet 2013 mampu menyuntik semangat yang tinggi dikalangan anggota PDRM. -foto KAMARUL ARIFFIN

SUNTIKAN peruntukan sebanyak RM591 juta menerusi Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dalam negara.

Selepas kejayaan PDRM mengurangkan jenayah menerusi inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), fasa kedua inisiatif berkenaan bakal menumpukan kepada beberapa aspek utama khususnya bagi menangani persepsi negatif yang ditimbulkan sesetengah pihak.

Dalam temubual eksklusif dengan mStar Online, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menggariskan beberapa keutamaan yang akan diberikan oleh PDRM bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam negara.

Namun jelas beliau, usaha yang bakal dilaksanakan oleh pihak polis itu akan lebih berhasil jika mendapat kerjasama daripada masyarakat khususnya merealisasikan matlamat mewujudkan komuniti selamat.

Ikuti temubual khas ini;

Penekanan Kepada Laluan Kerjaya

mStar: Bagaimana Tan Sri melihat inisiatif kerajaan untuk melakukan penambahbaikan dalam laluan kerjaya PDRM menerusi pengumuman Bajet 2013.

Ismail: Kajian laluan kerja yang menarik untuk PDRM ini ada kaitan dengan skim perkhidmatan polis. Skim ini saya anggapkan sebagai satu perkara yang boleh meningkatkan martabat PDRM kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Saya lihat sememangnya kedudukan pegawai polis tertentu kita perlu dinaikkan setara dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain khususnya pegawai-pegawai barisan depan terutamanya ketua polis daerah yang menjalankan tugas-tugas khidmat terus kepada masyarakat.

Peluang ini akan menjadi satu suntikan semangat untuk meneruskan tugas harian mereka dengan keyakinan yang lebih tinggi. Saya akui daripada sudut dalaman, ia sebagai satu suntikan semangat untuk tingkatkan mutu kerja anggota sedia ada.

Selain itu, saya berpandangan menerusi skim laluan kerjaya ini juga membolehkan kita menarik minat orang ramai menyertai PDRM.

Selepas ini kita harapkan orang akan menyertai pasukan polis bukan sebagai pilihan terakhir tapi sebagai salah satu pilihan utama kerjaya mereka. Ini merupakan impak besar melalui pengumuman Perdana Menteri.

Nilai Tambah

mStar: Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan RM12 juta. Apa pandangan Tan Sri berdasarkan inisiatif berkenaan?

Ismail: Selama ini pegawai polis kita tidak kira apa-apa pangkat, masing-masing ambil insurans perlindungan diri sendiri.

Walaupun selama ini memang ada bantuan daripada kerajaan seperti pemberian ex-gratia, tabung bantuan polis serta skim bantuan kemalangan semasa bertugas, namun skim insurans berkelompok ini bagi saya sebagai nilai tambah kepada PDRM. Ia merupakan satu lagi suntikan semangat kepada kebajikan PDRM.

mStar: Menerusi Bajet 2013, PDRM diberi aset tambahan sebanyak 1,000 buah motosikal lagi dengan peruntukan sebanyak RM20 juta?

Ismail: Anggota polis perlu menjalankan tugas dengan lebih baik terutamanya apabila Perdana Menteri umumkan penubuhan unit rondaan bermotosikal untuk memantau kawasan perumahan.

PDRM akan beli motosikal baru ini secepat mungkin. Kita akan gunakan motosikal tersebut bagi tujuan rondaan di kawasan yang kita kenal pasti perlu kehadiran polis dengan lebih kerap untuk pemantauan.

Perkara ini adalah salah satu keutamaan saya. Saya akan pastikan unit peronda motosikal dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

54.6% Masyarakat Takut Pada Peningkatan Jenayah

mStar: Apa perancangan PDRM untuk menurunkan peratusan perasaan takut terhadap jenayah atau fear of crime di kalangan masyarakat?

Ismail: PDRM sedar tentang permintaan dan kehendak rakyat untuk kurangkan jenayah.

Malah kami juga sedar tentang cabaran yang dihadapi iaitu bagaimana untuk hilangkan persepsif masyarakat yang takut kepada jenayah.

Saya sangat mengambil berat dan risau mengenai rungutan orang ramai yang saya temui di jalanan apabila mereka masih melahirkan rasa takut.

Kajian mengenai fear of crime sehingga Mei lalu menunjukkan 54.6 peratus perasaan itu wujud di kalangan masyarakat. Jadi PDRM berhasrat untuk kurangkan peratusan berkenaan sehingga 45 peratus sehingga penghujung tahun ini.

Bukan mudah nak yakinkan bahawa anda selamat. Jika anda rasa baik, saya mahu anda rasa bagus...itu harapan saya dan kalau anda kata bagus, saya akan rasa gembira.

Saya perlu lihat kepada pelbagai kelompok masyarakat. Contohnya apa perasaan bagi orang yang berada di Kepong dan bagaimana pula yang berada di Damansara. Demikian juga di tempat lain seperti di Terengganu.

Saya beritahu pegawai saya bahawa kita perlu buat analisa kerana tahap keyakinan orang ramai berubah. Kita perlu dengar aduan orang ramai dan kemudiannya rancang sesuatu mengikut keperluan.

Mesej Negatif Cabaran Terbesar PDRM

mStar: Apakah cabaran besar yang dihadapi PDRM dalam mengatasi persepsi dan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.

Ismail: Sekarang ini kita berhadapan dengan cabaran teknologi maklumat kerana ia lebih mudah dan pantas mempengaruhi pemikiran masyarakat.

Ini adalah cabaran besar dalam kita menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan negara pada masa kini.

Cabaran yang saya maksudkan terutamanya perbincangan dan perdebatan negatif yang ditimbulkan serta mesej negatif yang disebarkan dalam laman media sosial.

Apa yang kita risaukan ialah jika rakyat terpengaruh, ia akan memberi kesan buruk dalam masyarakat.

mStar: Jadi apakah perancangan Tan Sri untuk atasi cabaran berkenaan?

Ismail: Saya arahkan anggota-anggota saya untuk pantau semua laman sosial serta isu-isu yang ditimbulkan terutamanya berkaitan keselamatan orang ramai.

Oleh yang demikian kita akan pertingkatkan mutu kerja terutama dari aspek kepantasan mendapatkan maklumat mengenai sesuatu kejadian serta bagaimana kita perlu respons kepada orang ramai mengenai perkara yang berlaku itu.

Kalau kita lambat respons kepada sesuatu isu, tanggapan rakyat ialah kononnya kita cuba sembunyikan sesuatu.

Tapi rakyat juga perlu faham bahawa polis perlu siasat secara terpeinci terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan balas.

Pasukan Kesukarelawan Polis

mStar: Apakah harapan Tan Sri kepada masyarakat khususnya bagi membantu PDRM mengurangkan kadar jenayah dalam negara?

Ismail: Semua pihak perlu terlibat dalam mewujudkan keharmonian dalam masyarakat. Salah satu daripadanya ialah kita harapkan penyertaan generasi muda.

PDRM mahu mendekati golongan ini kerana kita yakin mereka mampu memainkan peranan membanteras jenayah.

Kalau polis tak dekati mereka ia seolah-oleh kita ketepikan peranan yang boleh mereka mainkan. Mereka boleh bantu kita dalam pelbagai aspek termasuk menerusi Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi membantu PDRM mencegah jenayah.

Selain itu PDRM menyasarkan untuk menjadikan Kuala Lumpur tersenarai sebagai salah satu daripada 20 bandaraya terselamat di dunia.

Kita sedang tumpukan pelbagai usaha untuk merealisasikan matlamat ini. Sudah pasti sasaran ini boleh dicapai dengan kerjasama penuh daripada masyarakat sendiri.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan