"Terima Dahulu Laporan Walaupun Dibawah Pokok" - KPN

Diterbitkan: Jumaat, 5 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak mengambil mudah tugas dan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutamanya bagi membendung wujudnya persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, PDRM menyasarkan peratusan tahap kepuasan orang ramai terhadap mutu perkhidmatan pasukan itu meningkat daripada 68.1 peratus pada Mei lalu kepada sehingga 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

Malah tegas beliau, tugas paling mudah seperti menerima aduan berhubung sesuatu kes yang ingin dilaporkan oleh orang awam perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Terima dulu laporan walaupun di bawah pokok. Saya tak mahu dengar lagi rungutan anggota polis tak mahu terima aduan dengan pelbagai alasan.

"Kalau anda tahu (kes polis enggan terima laporan) beritahu saya. Saya akan ambil tindakan tegas. Kalau dia tak setuju dengan hukuman, dia boleh cabar keputusan saya," katanya dalam satu wawancara eksklusif di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman di sini.

Tegas Ismail, beliau mahu anggotanya mengubah sikap serta budaya kerjaya selari dengan perubahan dan cabaran semasa khususnya dalam dunia teknologi maklumat.

Tambah beliau, anggota polis bakal berhadapan dengan tindakan disiplin sekiranya enggan mengubah budaya kerjaya yang lebih efisyen.

"Mereka yang bermasalah akan terlepas kenaikan pangkat. Kalau mereka suka dengan cara kerja lama, saya tak boleh bagi kenaikan pangkat.

"Manakala bagi yang betul-betul melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan tatatertib," katanya.

Bagaimanapun katanya, asas disiplin yang kukuh sebagai anggota keselamatan perlu dipertahankan dan tidak perlu diubah.

"Perkara asas itu perlu kekal. Saya tak halang anggota saya menyanyi atau menari seperti orang lain. Tapi sebagai anggota polis, mereka mesti tahu untuk melakukannya dengan cara yang betul.

"Jangan rosakan imej sendiri dan yang paling penting pasukan PDRM," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan