"Saya Tidak Ada Masalah...Azmin Tak Perlu Minta Maaf Pun" - MB S'gor

Diterbitkan: Khamis, 4 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali tidak perlu memohon maaf berikutan kenyataannya yang dianggap sebagai satu salah faham.

Malah, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor dan Anggota Parlimen Bandar Tun Razak menganggap kenyataan Azmin adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian pakatan pembangkang.

"Bagi saya, Azmin tidak perlu minta maaf. Kita tidak boleh salahkan Azmin kerana ada baiknya kenyataan beliau itu, maknanya orang boleh terima saya kerja di peringkat negeri dan Pusat.

"Saya tidak ada masalah kalau kedua-dua (peringkat), saya tidak dapat pun tiada masalah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak, dilaporkan berkata Selangor akan mendapat Menteri Besar baru bagi menggantikan Abdul Khalid sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Azmin berkata, Abdul Khalid lebih diperlukan di peringkat Pusat sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum itu.

Ditanya mengenai kabinet bayangan pakatan pembangkang, Abdul Khalid berkata kabinet bayangan itu tidak perlu ditetapkan sehingga selepas PRU ke-13 bagi membolehkan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang dapat menumpukan usaha menawan Putrajaya.

Terdahulu, ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013, Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin menempelak 'kabinet bayangan' pakatan pembangkang yang disifatkan mengamalkan kronisme.

Malah, beliau berkata ada dalam kalangan anggota parlimen khususnya dari Sabah tercicir daripada tersenarai dalam kabinet bayangan itu.

"Mereka bercakap soal kronisme tapi apa yang saya lihat ini adalah kabinet kroni. Bapa, emak dan anak semua diangkat dalam kabinet bayangan. Tapi malangnya wakil Sabah seorang pun tidak diiktiraf.

"Sebab itu orang Sabah jangan tertipu, mereka boleh menjanjikan impian melangit tapi akhirnya ia hanya tinggal sekadar janji. Berbeza dengan BN yang beri empat wakil Sabah sebagai menteri dalam kabinet hari ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan