LHDN Sasar Kutip Cukai Langsung RM117 Bilion Tahun Ini - Donald Lim

Diterbitkan: Khamis, 4 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai langsung berjumlah RM117 bilion tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai, Khamis.

Beliau berkata bagi tempoh 2008 hingga 2011, jumlah kutipan cukai langsung oleh LHDN adalah RM342 bilion.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu jumlah kutipan cukai oleh LHDN bagi tempoh 2008 hingga 2012 di Dewan Rakyat di sini.

Raime juga ingin tahu apakah usaha-usaha LHDN dalam membuat perubahan atau transformasi untuk memastikan peningkatna kutipan bagi pendapatan negara.

Kepada soalan itu, Lim berkata LHDN telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan kutipan hasil cukai langsung, antaranya ialah memberi tumpuan pengauditan kepada syarikat-syarikat yang berisiko ringgi dan terdedah kepada pengelakan cukai.

Katanya LHDN juga memberi tumpuan kepada penyiasatan kepada pihak yang dikenal pasti tidak melaporkan jumlah pendapatan sebenar.

"Pemantapan Unit Pengesanan LHDN bagi membolehkan unit ini mengesan dan menaksir pembayar-pembayar cukai tegar yang tidak membayar dalam tempoh masa yang sepatutnya atau gagal melaporkan cukai pendapatan masing-masing dengan betul dan tepat," katanya.

Lim berkata LHDN juga sentiasa meningkatkan tumpuan terhadap aktiviti pemungutan duti setem dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dengan meningkatkan aktiviti audit duti setem dan menjalankan pemeriksaan ke atas pembayar cukai yang mempunyai nilai CKHT yang tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan