PKNS Nafi Dakwaan Tidak Bina Rumah Mampu Milik

Diterbitkan: Isnin, 1 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan pihaknya gagal membina rumah mampu milik di Selangor.

Pengurus Besarnya, Othman Omar berkata, persepsi tersebut adalah tidak benar kerana PKNS telah banyak memberi sumbangan terhadap projek-projek sosial dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sebanyak 12,242 unit rumah mampu milik sedang dibina oleh PKNS di seluruh Selangor dalam jangka masa pendek dan sederhana dengan mengetengahkan konsep, Kehidupan Aman Selesa, Indah dan Harmoni (KASIH) PKNS.

"Konsep ini memberi penekanan kepada persekitaran lestari dan holistik isi rumah. Sebanyak RM1.1 bilion subsidi akan dibelanjakan kami projek berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKNS di Menara HPA pada Isnin.

Othman berkata, rumah mampu milik KASIH yang dibina dilengkapi dengan pusat tuisyen komuniti, pusat jagaan kanak-kanak dan lain-lain kemudahan awam.

Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas pula akan diberi lot rumah ditingkat bawah dengan memberikan kepada mereka kawasan khas untuk melakukan riadah.

"Ingin kita betulkan persepsi bahawa PKNS tidak pernah mendapat tanah anugerah daripada kerajaan negeri sebaliknya PKNS membeli tanah-tanah untuk membuat projek perumahan ini pada harga pasaran.

"Persepsi ini tidak betul. Sebagai contoh tanah Ulu Bernam kita beli pada 1996, dengan keluasan 6000 ekar pada harga RM400 juta atau RM1.51 seekar.

"Bagi tanah di Cyberjaya pula kita beli pada 2007 dengan keluasan sebanyak 614 ekar pada harga RM303 juta atau RM5.36 seekar. Ini kita beli pada harga pasaran lebih tinggi daripada harga nominal," katanya.

Beliau menegaskan bahawa penduduk di Selangor perlu tahu PKNS tidak pernah mendapat apa-apa geran atau bantuan daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat dalam membina projek perumahan mereka.

"Kita bukan macam Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) atau Jabatan Kerja Raya yang dapat geran dan bantuan daripada kerajaan pusat.

"Tanah pun kita tidak dapat percuma, kita kena beli daripada kerajaan negeri. Kami tidak takut untuk bersaing, kami memang sukakan cabaran. Kita mahu bersaing secara sihat dan keuntungan yang kita peroleh kita mahu salurkan kepada rakyat Selangor dengan membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.

Othman turut menegaskan rumah mampu milik yang dibina oleh PKNS berharga di bawah RM150,000 dan memenuhi keperluan semasa.

"PKNS telah mula membina perumahan mampu milik sejak 2009 lagi dengan projek pertama rumah mampu milik kini sedang giat dibangunkan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Sebanyak 124 unit rumah konsep baru itu dijangka siap pada Februari 2013.

"PKNS komited untuk membina kira-kira 12,242 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang antaranya di Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri (Rawang), Gombak, Seksyen U12 (Petaling), Taman Sains Selangor 2 ( Sepang) dan Bandar Sultan Suleiman (Klang).

"Setiap unit rumah akan dijual pada harga antara RM85,000 hingga RM150,000 mengikut garis panduan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS)," katanya.

Jelasnya, sehingga kini, PKNS telah membina sebanyak 124,515 unit rumah terdiri daripada kos rendah, sederhana dan tinggi.

"Daripada jumlah itu sebanyak 53,826 adalah unit kos rendah yang mewakili 43 peratus, 56,641 kos sederhana (48 peratus) dan 11,048 kos tinggi (9 peratus).

"Perangkaan ini membuktikan bahawa dakwaan pihak tertentu yang mengatakan PKNS sudah lari daripada matlamat asal dan hanya memenuhi keperluan golongan kaya berbanding golongan marhaen adalah tidak benar sama sekali.

"Ini dibuktikan dengan perumahan kos tinggi hanya berjumlah 9 peratus sahaja dibandingkan dengan jumlah kos rendah dan sederhana yang telah dibina melebihi 90 peratus," katanya.

Beliau mendakwa, ada pihak dilihat cuba menjadikan pembinaan rumah mampu milik oleh PKNS sebagai agenda politik demi kepentingan pihak tertentu.

"PKNS tidak membina rumah mampu milik adalah salah satu perkara yang ditimbulkan kini. Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang lain-lain cuba bangkitkan isu sama dengan pelbagai agenda politik," katanya.

Menurutnya, pembinaan rumah mampu milik ini bergantung kepada berapa banyak keuntungan diterima oleh PKNS.

Katanya, semakin banyak keutungan diterima semakin banyak subsidi diberi untuk membina rumah mampu milik tersebut.

"Kita bukan sahaja beli tanah malah pelbagai infrastruktur turut disediakan PKNS dan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh syarikat lain.

"Banyak projek kita jalankan atas tanggungjawab korporat sosial. PKNS tidak menerima tanah secara percuma daripada kerajaan negeri malah kita bayar mengikut harga pasaran.

"Orang ramai perlu faham, bagaimana kita nak bantu jika keutungan yang kita terima kurang? Sedangkan selama ini semakin banyak kita terima keuntungan semakin banyak kita akan beri subsidi," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan