M'sia Mampu Capai Sasaran Pertumbuhan Ekonomi - Devamany

Diterbitkan: Isnin, 1 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi itu disokong terutamanya pelaksanaan lebih giat projek pembangunan sektor awam dan swasta, serta peningkatan pendapatan boleh guna rakyat berikutan beberapa insentif yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, ekonomi Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan lebih kukuh dari 4.9 peratus pada suku pertama kepada 5.4 peratus bagi suku kedua pada tahun ini.

"Walau pun persekitaran ekonomi global yang lemah, pertumbuhan tinggi telah dapat dicapai melalui langkah untuk menggiatkan ekonomi dalam negeri terutama usaha meningkatkan pelaburan swasta serta pertumbuhan penggunaan swasta yang mampan berikutan peningkatan pendapatan boleh guna," katanya.

Devamany, yang juga anggota parlimen Cameron Highlands berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) mengenai kedudukan prestasi ekonomi negara setakat ini dan apakah peratusan perkembangan ekonomi negara (KDNK) lebih baik dari Indonesia, Singapura, Filipina dan lain-lain negara Asean.

Katanya prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun ini adalah lebih baik berbanding dengan Singapura (2.0 peratus), Thailand (4.2 peratus) dan Vietnam (4.4 peratus).

Namun begitu, katanya, negara Asean lain yang mempunyai tahap keterbukaan (tahap keterbukaan) sektor luar yang rendah seperti Indonesia dan Filipina berjaya mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada kadar 6.4 peratus dan 5.9 peratus, disumbang terutamanya oleh pertumbuhan kukuh ekonomi dalam negeri.

Devamany juga bersetuju dengan cadangan Ibrahim yang meminta kerajaan menubuhkan pusat penerangan ekonomi setempat untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai pertumbuhan ekonomi agar pihak-pihak tertentu tidak boleh memutar-belitkan fakta-fakta serta meracuni pemikiran rakyat.

"Kerajaan Barisan Nasional merupakan kerajaan yang bertanggung jawab, kerana pertumbuhan ekonomi negara selama tiga tahun, secara purata, tumbuh kepada 5.0 peratus," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan