Inisiatif Bajet 2013 Hanya Bersifat Sementara - Anwar

Diterbitkan: Isnin, 1 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengumuman beberapa inisiatif menerusi Bajet 2013 termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia fasa dua (BR1M 2.0) hanya bersifat retorik politik tanpa menyentuh mengenai usaha meningkatkan paras pendapatan rakyat.

Ketua Pembangkang itu berkata, pemberian BR1M 2.0 hanya bersifat sementara serta tidak membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

"BR1M dan lain-lain bantuan kecil itu hanya bersifat sementara. Perdana Menteri seharusnya mengumumkan pelan ekonomi bagi melepaskan garis kemiskinan rakyat," katanya ketika membahaskan Bajet 2013 pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kerajaan perlu membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu golongan usahawan kecil.

Malah katanya, kerajaan juga perlu meneroka pelbagai bidang baru sebagai strategi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

"Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh golongan usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar di dalam ekonomi.

"Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran, maka peluang pekerjaan yang dihasilkan mempunyai pengaruh yang besar kepada bentuk pertumbuhan yang dijana.

"Peranan kerajaan di dalam menjana ekonomi perlulah dibataskan kepada usaha-usaha mencambahkan bidang baru dan memesatkan kegiatan ekonomi strategik, bukannya terlibat sama di dalam setiap jenis kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil dan pengusaha," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan