SPNB Akan Bina 1,850 Rumah Mampu Milik Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 30 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 1,850 unit rumah mampu milik di seluruh negara pada tahun depan.

Pengerusinya Datuk Idris Haron berkata ia hasil peruntukan RM320 juta yang disalurkan kerajaan melalui SPNB dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas.

"Pengumuman itu menunjukkan perdana menteri mendengar keluhan golongan muda dan kumpulan pertengahan yang ingin memiliki kediaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Kepimpinan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di sini, Ahad.

Turut hadir Presiden SBM Mohammed Nazari Othman.

Dalam pembentangan Belanjawan itu, Najib berkata SPNB juga akan membina 21,000 unit rumah Mesra Rakyat untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Anggota Parlimen Tangga Batu meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melantik Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa teknikal di PBT masing-masing supaya kehendak dan keperluan golongan itu tidak diabaikan.

Beliau berkata PBT perlu menyediakan infrastruktur yang baik kepada OKU terutama dalam sektor perkhidmatan seperti pengangkutan awam, tempat letak kereta dan tandas awam.

Penguatkuasaan dalam sektor perkhidmatan itu juga perlu lebih tegas agar kemudahan yang disediakan tidak dieksploitasi oleh golongan normal, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan