Kerajaan Mampu Bayar Hutang Negara - Ahmad Husni

Diterbitkan: Ahad, 30 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Rakyat tidak perlu bimbang dengan kadar hutang negara kerana kerajaan mampu membayarnya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata kerajaan membuat pinjaman berdasarkan kemampuannya untuk membayar balik pinjaman berkenaan.

"Kita mampu bayar balik. Tidak pernah di dalam sejarah (kita tidak bayar hutang).... sejak saya Ahli Parlimen, kita tidak pernah hadapi hutang kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak di sini, Sabtu.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa Belanjawan 2013 yang dibentangkan semalam tidak mengambi kira situasi ekonomi dengan hutang negara yang semakin meningkat.

Ahmad Husni berkata keupayaan membayar hutang itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah dan tempoh bayaran pinjaman yang dibuat.

"Kalau kita buat pinjaman RM1 bilion dan tempoh bayarannya adalah 20 tahun, jumlah yang perlu dibayar adalah rendah berbanding bayaran dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata hutang negara ketika ini berada pada paras tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahmad Husni menjelaskan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan digunakan untuk tujuan pembangunan yang dapat menghasilkan kesan berganda bagi memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan perlu meminjam bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan.

"Kita perlu meminjam. Jika tidak, kita tidak dapat melaksanakan sebarang pembangunan tetapi perlu dilakukan pada tahap keupayaan untuk membayar balik," katanya.

Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan semalam menyebut hutang kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 10.1 peratus kepada RM502.4 bilion disebabkan pinjaman domestik yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan pembiayaan.

Menurut laporan itu, jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada 53.7 peratus daripada KDNK tahun ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan