Dr Mahathir Terima Anugerah Peringatan -Rafik Hariri PBB 2012

Diterbitkan: Sabtu, 29 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Habitat 2012 pada satu majlis di Perpustakaan Awam di sini malam Jumaat.

Anugerah itu disampaikan Nazek Rafk Hariri, balu pemimpin itu yang merupakan Presiden Yayasan Rafik Hariri.

Dr Mahathir, 87, dinamakan sebagai pemenang anugerah itu pada Jun oleh jawatankuasa pemandu bagi mengiktiraf kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus baik beliau.

Anugerah itu, yang dinamakan sempena Perdana Menteri Lebanon Rafik Hariri, yang sudah meninggal dunia, diwujudkan oleh keluarga Hariri dengan kerjasama PBB-UN-Habitat menerusi Yayasan Rafik Hariri sejak Mac 2009, dan diberi kepada individu, pertubuhan serta institusi di seluruh dunia bagi mengiktiraf pencapaian penting seperti kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus baik selain aktiviti kebajikan dalam membanteras kemiskinan bandar dan pelaksanaan Agenda Habitat.

Dr Mahathir merupakan penerima kedua selepas Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdoğan.

Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Rafik Hariri dan PBB-Habitat kerana memberikan anugerah berprestij itu kepada beliau tahun ini.

"Saya anggap ia satu penghormatan besar khususnya kerana anugerah ini dinamakan sempena seorang yang luar biasa serta memiliki kualiti kepimpinan dan sumbangan yang tiada tandingan," katanya.

Beliau berkata tanpa budaya perkongsian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, selain cintakan keamanan serta kestabilan, Malaysia tidak akan mampu mencapai kejayaan yang dikecapinya hari ini.

"Saya kenal Rafik Hariri ketika beliau pertama kali melawat Malaysia. Kami serta-merta menjadi rakan karib dan saya melawat Lebanon atas jemputan beliau bagi melihat sendiri kerosakan yang dialami akibat perang saudara. Rafik berjanji beliau akan membina semula Beirut seperti keadaan asalnya sebelum dilanda peperangan, dan beliau telah mengotakan janjinya.

"Saya melawat Beirut selepas pemulihannya dan yakin masa depan yang gemilang menanti Lebanon di bawah kepimpinan Rafik. Ada banyak sebab saya menyukai beliau. Saya berhasrat memajukan Malaysia seperti keinginan beliau membangunkan Lebanon. Namun, beliau agak malang kerana tidak memiliki negara yang stabil seperti Malaysia. Beliau juga tidak berkesempatan untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Nazek dalam ucapan berkata Dr Mahathir merupakan idola dan menjadi inspirasi kepada semua orang, bagaimana tekad serta visi beliau mampu menjadikan impian suatu realiti, dan mana-mana negara sekalipun mampu mencapai masa depan yang cerah menerusi keyakinan serta kerja keras.

"Di bawah kepimpinan anda yang bijaksana, Malaysia berjaya memainkan peranan penting dalam peta dunia, dan sehubungan itu, PBB-Habitat dan Yayasan Rafik Hariri dengan bangga mengiktiraf pencapaian Malaysia dan bekas Perdana Menterinya yang cemerlang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha PBB dan Pengarah Eksekutif PBB-Habitat Dr Joan Clos berkata Dr Mahathir mengelola pembangunan ekonomi dalam tempoh yang luar biasa bagi inovasi sosial dan teknologi bandar.

"Kehidupan dan kerjaya Dr Mahathir menunjukkan beliau berpegang kepada prinsip berpandangan jauh ke depan. Dengan membuat pelaburan dalam infrastruktur fizikal, teknologi dan pengetahuan, beliau juga lebih banyak mendahului zamannya," katanya.

Clos juga berkata usaha Dr Mahathir menghasilkan pembangunan pesat di bandar utama Malaysia, selain mengubah negara yang bergantung terhadap pertanian kepada ekonomi bandar yang memfokuskan industri. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan