Program Bantu Siswazah Menganggur Akan Dilancar Hujung Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 28 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rangka kerja atau Pelan Tindakan Kebolehpasaran Graduan akan dilancarkan hujung tahun ini bagi membantu siswazah menganggur mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata setiap tahun hampir 180,000 graduan berkelulusan Diploma dan Sarjana Muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi.

"Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas Kebolehpasaran Graduan dengan peruntukan RM200 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Mengenai modal insan yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, Najib berkata program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baharu selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

Bagi tujuan itu, sejumlah RM3.7 bilion akan disediakan tahun depan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperuntukkan RM440 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran.

Beliau berkata langkah ini akan dapat dimanfaatkan hampir 40,000 pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga lima.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM366 juta bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.

Perdana menteri berkata pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteraskan kepada teknologi, berinovatif serta berpendapatan tinggi.

"Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, teknologi maklumat (ICT), kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013 dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya," katanya.

Sementara itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India yang miskin dari estet-estet yang tidak memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan dan peluang pekerjaan melengkapkan diri dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran.

"Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional," kata Najib.

Skim Latihan Dual Nasional adalah skim yang bertujuan melahirkan lebih ramai pekerja mahir. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan